pks

Aroma wangian DANI Lavish

Oleh Nor Hairulnizam Wahid

Kuala Lumpur: Enggan mengelirukan pengguna dengan penggunaan jenama bertemakan viral yang banyak digunakan di pasaran, Pengasas Bersama haruman DANI Lavish, Khairul Fahmi Kamzon bertekad untuk menukar jenamanya sebagai inisiatif mendekati pengguna.

"Sebelum ini banyak syarikat menggunakan nama perfume viral, menyebabkan pengguna keliru dan kini semuanya lebih mudah dengan menggunakan jenama sendiri," katanya.

Memulakan perniagaan haruman sejak 2017, Khairul Fahmi yang dibantu isterinya, Intan Norsazliany Mohd Radzi pada asalnya lebih tertumpu di pusat beli-belah, namun beralih kepada perniagaan dalam talian sejak 2019.

"Hanya selepas PKP, kami menggunakan jenama DANI Lavish dan kembali turun padang untuk memperkenalkan jenama ini," katanya yang kini mengeluarkan 30 variasi haruman untuk lelaki dan wanita.

Khairul Fahmi menjelaskan selain mengambil inspirasi jenama yang ada di pasaran, proses pembuatannya dilakukan sendiri, sehingga ke pembungkusan dan edaran kepada pengguna.

"Kita buat sendiri dari A hingga Z jadi kita tahu apa kelebihan dan kelemahan produk, juga menerusi maklum balas pengguna dan apa saja kekurangan kami akan tambah baik," katanya yang mengeluarkan haruman jenis semburan, roll on selain pewangi kereta.

Sehingga kini, katanya DANI Lavish mengeluarkan lebih 2,000 botol haruman pelbagai variasi sebulan, dibantu pasukan jualan sendiri dan menerima sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Katanya, haruman berkenaan tahan selama lapan jam dengan kesan optimum menerusi semburan pada pakaian, malah boleh dibawa solat.

"Kami mahu orang ramai lebih mengenali dan yakin dengan jenama ini, haruman berinspirasi jenama terkenal dengan harga mampu milik yang ditawarkan bermula pada harga hanya RM10," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 8:13am
d