pks

Sanggup jual motosikal, cari modal ternak ikan

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Seorang pemuda sanggup menjual motosikal kesayangannya untuk dijadikan modal permulaan menternak ikan air tawar yang diusahakan sejak Januari lalu.

Muhammad Firdaus Che Mohd Adnan, 27, berkata, dia berkorban menjual motosikal Yamaha 125ZR pada harga RM7,000 kerana amat memerlukan wang sebagai permulaan untuk menternak ikan air tawar.

Katanya, bagi memulakan penternakan ikan air tawar, dia mengeluarkan modal sebanyak RM5,000 untuk membeli tangki air polivinil klorida (PVC) dan kanvas untuk dijadikan sangkar.

"Di peringkat permulaan saya menternak 1,000 benih ikan keli yang dibeli daripada pembekal benih di Pasir Mas.

"Sehingga kini saya mempunyai 10,000 ikan patin, keli, dan tilapia merah yang ditempatkan di dalam dua tangki PVC dan satu kanvas di atas tanah berkeluasan 0.4 hektar di belakang rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya di Lubok Jambu Kampung Mulong.

Muhammad Firdaus yang bakal menimang cahaya mata kedua pada Ogos ini berkata, dia mendapat tunjuk ajar daripada orang lebih berpengalaman selain merujuk kepada YouTube sekali gus dapat menjana pendapatan tambahan untuk menyara keluarga.

"Sejak menternak ikan air tawar, saya sudah menjual ikan keli yang mencapai tempoh matang kepada peniaga restoran dan kedai makan selain individu yang datang membelinya sendiri di rumah.

"Saya menjual ikan keli pada harga RM7 sekilogram manakala ikan patin RM5 sekilogram dan ikan tilapia merah pula RM12 sekilogram," katanya.

Katanya, pada Mac lalu, dia mengalami kerugian apabila 200 ekor ikan keli yang diternaknya mati akibat cuaca panas melampau.

"Bagaimanapun, saya tidak berputus asa dan meneruskan ternakan ikan seperti biasa.

"Tidak dinafikan menternak ikan air tawar agak mencabar kerana faktor alam semula jadi mampu memberi kesan kepada jumlah dan kualiti ternakan," katanya.

Muhammad Firdaus berkata, dia juga sudah bersedia untuk menambah pengetahuan dengan menghadiri kursus pembenihan ikan pada Julai ini selepas Jabatan Perikanan datang meninjau ternakan ikannya baru-baru ini.

"Dalam masa terdekat, saya akan menambah 10,000 benih ikan patin dan perlu menambah beberapa lagi tangki PVC untuk menempatkan kesemua ikan ternakan," katanya.

Disiarkan pada: May 13, 2023 @ 12:34pm
d