rap

Dahlan berhenti berharap

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PASANGAN penyanyi terkenal era 1970-an, Datuk Dahlan Zainuddin dan isterinya, Datin Effa Rizan mengakui sudah ‘move on’ daripada kekecewaan terhadap sikap seorang individu kononnya seorang ahli perniagaan muda yang menabur janji palsu terhadap mereka.

“Kami sudah tak menghubungi dia untuk minta tunaikan janjinya sebelum ini. Buang masa kami saja untuk fikirkan perkara ini.

“Biar Allah saja balas apa dilakukannya terhadap kami. Ada yang suruh saman kerana dia bagi cek tendang dan menggunakan gambar kami di Facebook untuk kepentingan peribadi tapi untuk apa?.

“Bagi kami ini hanya harta dunia dan biarlah Allah yang membalasnya. Dia memalukan kami seolah-olah minta sedekah,” kata Dahlan kepada Harian Metro.

Kisah mereka bermula pada pertengahan Mei tahun lalu, apabila individu terbabit menganjurkan majlis Malam Kisah Seorang Biduan bersama Datuk Dahlan Zainuddin yang berlangsung di sebuah hotel terkenal dan mengumumkan memberi sumbangan sebanyak RM100,000 terhadap penyanyi yang popular dengan lagu Kisah Seorang Biduan itu.

Keesokan harinya, dia bertemu pasangan itu di hotel sama dan berjanji menghadiahkan mereka sebuah banglo bernilai lebih RM1.2 juta.

Ditemui pada majlis memperkenalkan menu 'Citarasa Warisan Bonda' sempena Ramadan di Kelab Darul Ehsan, Ampang, Effa yang mewakili suaminya berkata, dia juga sudah menjelaskan kronologi kejadian di Facebooknya dan enggan bercerita mengenai perkara itu lagi.

“Saya buat keputusan ini kerana selagi tidak memasukkan di Facebook orang akan bertanya kerana tak tahu perkara sebenar.

“Ada yang masih keliru sangkakan kami sudah dapat banglo seperti yang dijanjikan dan ini antara punca saya ceritakan segalanya di Facebook.

“Dengan penjelasan dibuat, sekurang-kurangnya saya tidak lagi dihujani pertanyaan demi pertanyaan sekarang,” katanya.

Effa berkata, mereka juga sudah berhenti berharap serta tidak mengimpikan untuk memiliki banglo dan bersyukur dengan rumah yang diduduki sekarang.

“Nak minta apa kalau orang dah main-mainkan kami begini. Kami ada harga diri. Lagipun bukan kami yang minta sebaliknya dia yang berjanji.

“Saya masih beranggapan apa yang berlaku pada majlis berlangsung dulu sudah dirancang.

“Mereka gunakan nama Malam Kisah Seorang Biduan bersama Datuk Dahlan Zainuddin sedangkan sepatutnya Malam Bersama Ibu Tunggal. Mereka gunakan nama Dahlan untuk kepentingan peribadi,” katanya.

Effa turut menjelaskan mereka kini selesa dengan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) Seri Aman, Kepong yang diduduki hasil bantuan Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT).

“Alhamdulillah semuanya okey. Cuma kami masih membiasakan diri untuk tinggal dalam suasana begini.

“Saiz rumah ini boleh dikatakan agak luas kerana berkonsep baru. Kami selesa tinggal di sini. Bentuk kediaman ini seperti pangsapuri.

“Alhamdulillah, jiran juga bagus menerima kehadiran kami di sini. Mereka banyak menganjurkan aktiviti setempat tapi kami belum berpeluang menyertainya kerana kesihatan suami tak mengizinkan,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 5:20pm
d