rap

Seniman percaya ada selebriti terbabit sindiket pelacuran

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) mengakui kebenaran cerita kewujudan selebriti dipercayai terbabit dalam sindiket pelacuran kelas atasan seperti laporan sebuah akhbar semalam.

Presidennya Zed Zaidi berkata, bagaimanapun ia hanya membabitkan segelintir kecil selebriti yang mencari kemewahan secara mudah.

"Sebabnya sekarang cabaran kita ialah media sosial. Mereka menggunakan media sosial untuk menunjukkan kemewahan yang tidak setara dengan pendapatan mereka. Ia sekali gus menunjukkan yang mereka mungkin terbabit dengan perkara itu. Apa yang kita bimbangkan adalah hanya disebabkan segelintir selebriti, ia boleh mencemarkan imej industri hiburan tanah air," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang dengan peluang pekerjaan yang terhad dan ditambah masalah pandemik Covid-19, ia secara tidak langsung menjadikan mereka terjebak dengan kegiatan negatif ini.

"Seniman sebenarnya boleh bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terbabit bagi menyediakan garis panduan terhadap perkara ini. Namun, jika kita lihat dengan kes yang berlaku sekarang, perkara ini perlu diserahkan kepada pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi terbabit untuk urusan lanjut.

"Sekiranya, berdasarkan dokumen penyiasatan membuktikan selebriti itu terbabit dan bersalah, ada kemungkinan kami boleh menyenarai hitamkan mereka," katanya.

Zed berkata, Seniman bukan sahaja tegas membanteras isu pelacuran tetapi juga membabitkan isu pengubahan wang haram, rasuah, jenayah dan lain-lain kesalahan jenayah berat membabitkan golongan selebriti.

Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 4:55pm
d