rap

Uqasha Senrose dah dirisik

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon popular, Uqasha Senrose, 29, sudah dirisik oleh kekasihnya juga pelakon, Kamal Adli, 35, pada majlis merisik yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Adik Uqasha juga pelakon, Raysha Rizrose, 25, ketika dihubungi mengakui sebak dan dalam masa sama gembira apabila kakaknya bakal melangkah ke alam perkahwinan.

"Kamal bersama ibu bapa dan keluarganya baru datang merisik. Belum bertunang lagi. Sebagai adik, alhamdulillah, satu langkah sudah selesai. 

"Sebelum ini hanya persiapan saja, apabila sudah merisik dan bakal ke fasa seterusnya, sudah tentu membuatkan saya sebak dan dalam masa sama gembira.

"Harapnya semua yang dirancang berjalan lancar. Mereka buat banyak majlis nanti, jadi kami siap sedia lah akan sibuk," katanya kepada Harian Metro.

Raysha berkata, kegembiran pada wajah Uqasha jelas terpancar sejak menjalin hubungan dengan Kamal.

"Sebelum ini kakak melalui banyak dugaan bercinta. Apabila dia sudah jumpa jodoh sebenar, saya gembira tengok dia.

"Malah, memang jelas kelihatan wajah kegembiraan kakak apabila dengan Kamal. Dia juga sudah bersedia untuk menjadi isteri dan melayari bahtera perkahwinan," katanya.

Terdahulu, Kamal membuat kejutan apabila melamar Uqasha sewaktu tampil berpasangan menjadi penyampai pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020) pada Disember tahun lalu.

Disiarkan pada: April 4, 2021 @ 6:55pm