rap

Kerana Melissa, Rita Nadira dipanggil anak babi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Jahat, digelar anak babi dan banyak lagi.

Itu antara carutan dan kecaman diterima pelakon Rita Nadira, 24, yang melakonkan watak Melissa dalam drama Tak Sempurna Mencintaimu yang ketika ini ditayangkan di Slot Akasia, TV3.

Rita berkata, kecaman bukan saja di ruangan komen, tapi juga menerusi mesej peribadi (Direct Message) di Instagram.

"Kalau nak cakap kecaman melalui DM itu memang ada. Saya selalu dapat DM berbentuk carutan contoh 'jahat! kau ni anak babi! ' dan sebagainya. Tapi kebanyakan memang disebabkan watak Melissa itu sendiri. "Kalau nak kaitkan dengan peribadi seingat saya tak ada. Mungkin saya tak ambil perkara ini sesuatu yang serius selagi mereka tak melampaui batas. Setakat ini semua kecam untuk watak Melissa," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Rita berterima kasih kepada penonton dan warganet yang memberi perhatian terhadap watak dilakonkan.

"Pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih banyak kepada warganet. Walaupun watak Melissa dikecam, tapi mereka tetap sokong dan terima saya dalam industri ini. Mereka turut memberi komen yang positif juga.

"Sebenarnya rasa itu bercampur baur, tapi paling banyak rasa gembira apabila saya dapat sokongan daripada mereka. Nak melakonkan watak Melissa ini dengan pengalaman yang tak banyak dan masih baru dalam bidang ini bukan mudah. Jadi apabila watak ini menjadi perhatian dan bualan orang ramai, penat berkerja untuk membawa watak itu rasa berbaloi," katanya.

Bagaimanapun, Rita mengakui tidak boleh terlalu selesa dengan apa yang diterima sekarang.

"Saya belum lagi boleh duduk di zon selesa sebab saya tengok banyak perkara yang perlu perbaiki dan belajar. Insya-Allah kalau saya terus mendapat sokongan positif daripada penonton dan peminat, saya akan cuba menjadi yang lebih baik untuk drama atau mungkin filem pada masa akan datang," katanya.

Selain Rita, drama terbitan Zeel Production itu turut menampilkan Redza Rosli, Intan Najuwa, Azza Elite, Wan Mainunah, Lydiawati dan ramai lagi.

Disiarkan pada: April 23, 2021 @ 6:00pm