rap

Esma Daniel hati-hati layan peminat di media sosial

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Esma Daniel terkejut apabila menerima mesej peribadi daripada seorang pengikut di Instagram yang mengajaknya untuk berkahwin dan memiliki zuriat.

Esma berkata, dia menganggap mesej peribadi itu sekadar gurauan, tetapi perlu hati-hati ketika berhadapan dengan individu sebegini.

"Tidak dinafikan saya menerima berbagai mesej peribadi daripada individu tidak dikenali di media sosial dan perkara sebegini perlu berhati-hati.

"Kadang-kadang kita tak tahu apa niat mereka. Adakah dia seorang 'scammer', penyamar atau betul-betul mempunyai niat baik. Susah saya nak kenal pasti sebab mereka tidak meletakkan foto sebenar selain ada akaun yang tidak meyakinkan.

"Namun, saya anggap dia mungkin nak bergurau. Sekurang-kurangnya adalah sesuatu yang boleh menghiburkan hati dalam keadaan sekarang ini. Tak sangka, perkongsian ini menarik perhatian ramai," katanya.

Terdahulu Isma memuat naik tangkap layar imej mesej peribadi yang dihantar seorang pengikut di Instagram yang meluahkan rasa cinta dan menyatakan hasrat untuk berkahwin dengannya.

Menurut Esma, walaupun tidak memiliki jutaan pengikut, tetapi dia juga tidak terlepas daripada menerima mesej atau gambar yang keterlaluan.

"Selalu saja dapat mesej daripada pengikut yang bertanya khabar. Saya anggap media sosial adalah platform untuk saya berinteraksi dengan peminat.

"Tidak kurang juga ramai yang mesej minta sumbangan. Kalau ketika itu saya ada duit lebih, saya akan bagi tapi jika dia menipu itu antara urusan dia dengan Tuhan. Selain itu, ada juga menerima mesej daripada golongan tertentu, lebih-lebih lagi kalau saya muat naik gambar atau video ketika bersenam. "Tapi apa yang lebih bahaya, saya juga kerap menerima gambar atau video yang bukan-bukan, seolah-olah ada satu sindiket yang mana mereka mensasarkan individu tertentu. Tahulah industri tertua adalah pelacuran dan kita antara negara Asia yang tertinggi menonton pornografi tapi apapun perlu sentiasa berwaspada ," katanya.

Disiarkan pada: June 9, 2021 @ 4:03pm