rap

'Kalau tetap tak faham, nak buat macam mana...' - Man Raja Lawak

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Pelawak dan pelakon komedi, Man Raja Lawak mengaku dia pasrah saja dengan sikap segelintir individu yang masih  terus menghantar kiriman mesej meminta bantuan kewangan daripadanya di Instagram.

Man, 44, menerusi Harian Metro baru-baru ini memaklumkan dia terpaksa menghentikan bantuan kewangan kepada individu yang menghantar mesej meminta bantuan daripadanya di Instagram kerana wang tabungan yang semakin susut.

Man atau nama sebenarnya Abdul Rahman Kasim ketika dihubungi berkata, dia akur saja kepada individu-individu yang masih kurang faham serta tidak peduli pun dengan pengakuannya itu.

"Setakat ini, masih ada lagi yang kirim mesej kepada saya minta bantuan kewangan. Tapi, saya biarkan saja dan saya pun tak boleh juga nak halang mereka supaya tak kirim mesej-mesej berkenaan.

"Bagaimanapun, saya harap lama-lama nanti mereka akan faham juga. Nak cakap banyak pun, kalau mereka tak nak faham dan buat-buat tak faham sekarang, biar masa menentukan," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Man, dia tetap dengan keputusannya untuk lebih memberi fokus kepada keperluan keluarga termasuk membantu orang-orang memerlukan di sekeliling yang dikenalinya.

"Saya mohon maaf kerana tidak dapat membantu. Bagaimanapun, saya doakan semoga urusan dihadapi anda semua ketika ini dipermudahkan Alllah. Malah, saya doa anda juga sentiasa sihat.

"Dengan wang tabungan yang saya ada kini, memang digunakan untuk meneruskan kehidupan sendiri bersama keluarga dalam menghadapi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini,"katanya.

Man berkata dengan pendedahan pengakuan dibuatnya, dia juga tidak dikecam dan dikritik netizen. Ujarnya, dia sudah berterus-terang tidak dapat menghulurkan bantuan kewangan lagi.

Sebelum ini, ketika pelaksanaan PKP yang pertama 18 Mac tahun lalu, Man tampil menghulurkan bantuan kepada orang ramai yang terjejas pendapatan akibat Covid-19 menerusi wang RM50,000 dimenanginya ketika menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 bersama kumpulan Puteh.

 

 

 

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 1:56pm