rap

Ibu Amy Search meninggal dunia

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Amy Search, 63, berkongsi berita duka menerusi beberapa platform media sosialnya mengenai pemergian ibu tercinta, Fatimah Idris yang kembali ke Rahmatullah, pada jam 6 petang semalam.

Dalam hantarannya, Amy memohon doa daripada peminat dan rakan-rakannya di platform media sosial.

"Doakan ibu saya Fatimah Idris yang kembali ke Rahmatullah sebentar tadi (semalam).

"Arwah menghembuskan nafas terakhir di rumah anak saudara di Kota Damansara pada jam 6 petang dan disahkan oleh penolong kanan Hospital Sungai Buloh  jam 10.45 malam.

"Insya-Allah arwah Mak akan dimandikan esok (hari ini) jam 8 pagi di Masjid Kuning Kota Damansara dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 9 Kota Damansara," tulisnya.

Sementara itu, pelakon dan pengacara, Nabila Huda yang juga anak kepada Amy turut berkongsi rasa sedihnya di Instagram.

"Abil baru saja kehilangan seorang lagi nenek. Fatimah Idris. Al-Fatihah," tulisnya.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 8:57am
d