rap

Jay Pickett meninggal dunia

Oleh Agensi

Idaho: Pelakon Jay Pickett, 60, meninggal dunia selepas tiba-tiba pengsan sewaktu menunggang kuda ketika menjalankan penggambaran sebuah filem, Jumaat lalu.

Menurut laporan, kru produksi cuba berusaha menyelamatkan Pickett sebaik dia pengsan namun gagal. Pelakon terbabit disyaki pengsan akibat serangan jantung.

Bagaimanapun, punca sebenar kematiannya masih belum didedahkan.

Beberapa rakan industri yang jelas terkesan dengan pemergian itu turut berkongsi kesedihan menerusi media sosial. Mereka termasuk rakan pelakonnya, Jim Heffel.

Menurut Heffel, dia menyifatkan kematian Pickett itu jelas satu kehilangan besar.

"Semalam, saya kehilangan seorang sahabat baik dan dunia kehilangan seorang insan hebat," katanya.

Rakannya, Travis Mills pula berkata tragedi itu sememangnya cukup menyedihkan dan sangat bersimpati terhadap keluarganya.

"Pasti kamu semua sudah dengar mengenai tragedi itu yang berlaku beberapa hari lalu. Hati kami remuk dan turut berdukacita bersama keluarganya yang jelas bersedih dengan tragedi mengejut itu," katanya.

Pickett cukup meledak pada era 1990-an dan terkenal menerusi drama termasuk General Hospital dan Days Of Our Lives.

Disiarkan pada: August 2, 2021 @ 9:30am
d