rap

Kekasih Hati Mr Bodyguard tambah lagi 13 episod

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penerbit drama Kekasih Hati Mr Bodyguard, Suriyati Sidek berkongsi berita gembira apabila drama terbabit bakal ditambah episod istimewa.

Suriyati berkata, drama arahan Emi Suffian itu akan ditambah lagi 13 episod sekali gus menjadikan episod keseluruhan yang bakal ditayangkan di slot Lestary TV3 itu sebanyak 33 episod.

"Saya sangat gembira apabila drama Kekasih Hati Mr Bodyguard mendapat maklum balas luar biasa daripada penonton yang menantikan gandingan baru membabitkan Sharifah Rose dan Redza Rosli ini.

"Sebenarnya kami sudah lama mendapat lamaran daripada pihak stesen TV untuk menambah jumlah episod drama ini kerana mendapat rating tinggi ketika tayangannya.

"Justeru, kebenaran kerajaan untuk menyambung semula penggambaran sejak 9 September lalu adalah satu berita baik untuk kami melunaskan 20 peratus baki penggambaran yang tertangguh, kemudian disambung dengan episod tambahan sebanyak 13 episod ini," katanya.

Menurut Suriyati, penonton juga tidak perlu bimbang dengan nasib pelakon Lana Nodim untuk episod tambahan drama terbabit memandangkan pelakon itu belum lengkap dua dos vaksin untuk dibenarkan bekerja.

"Untuk episod tambahan ini tiada babak membabitkan Lana kerana pihak kami ada beberapa kejutan baru yang akan diberikan dalam sambungan ini, selain kemunculan selebriti popular yang akan menyerikan lagi drama ini.

"Watak Lana akan 'dimatikan' untuk 13 episod tambahan ini. Lagipun dia juga sudah tidak berada di Malaysia kerana mengikut suaminya ke luar negara," katanya.

Difahamkan, Kekasih Hati Mr Bodyguard yang menemui penonton pada 15 Mei lalu mendapat sambutan luar biasa apabila konsisten mencapai empat juta tontonan pada setiap episod ditayangkan.

S

Lebih mengujakan, rekod tertinggi iaitu 4.4 juta tontonan pada episod ketujuh.

Terhenti pada episod sembilan, kini drama terbabit ditayang semula bermula episod satu di TV3 selain turut ditayangkan di Disney+ Hotstar.

Disiarkan pada: September 11, 2021 @ 3:48pm
d