rap

Raja Ilya 'sakit' tanggung rindu tak dapat balik Malaysia?

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Raja Ilya yang kini menetap di Perth, Australia mengakui rindu untuk bertemu keluarganya selepas hampir dua tahun tidak dapat pulang ke Malaysia akibat penularan Covid-19.

Raja Ilya berkata, melihat kes positif Covid-19 di Malaysia yang mencatatkan angka tinggi sebelum ini membuatkan dia berasa risau dengan keadaan ibunya, Jamila, 68, yang menghidapi kanser kolon tahap empat. 

"Sepatutnya Mac tahun lalu saya pulang ke Malaysia, tapi disebabkan penularan Covid-19 semua penerbangan dibatalkan. Jadi, hampir dua tahun saya sudah tidak balik bertemu mak. 

"Tahun lalu saya tak rasa rindu atau 'homesick' sebab memang dah biasa ke luar negara seperti menjalani penggambaran serta kerjaya saya sebagai pramugari sebelum ini. 

"Tapi, memasuki tahun kedua ini saya sudah mula rasa 'sakit' lebih-lebih lagi melihat kes Covid-19 di Malaysia yang agak membimbangkan. 

"Bayangkan ibu saya menghidap kanser dan tinggal seorang diri di Kuala Lumpur. Adik-beradik pula tinggal di luar kawasan. Jadi, ibu saya nak keluar atau ambil vaksin pun jadi takut sebab bimbang jika berlaku apa-apa dia tak sempat bertemu anak-anaknya," katanya kepada Harian Metro. 

Raja Ilya bagaimanapun bersyukur apabila berjaya memujuk ibunya untuk mendapatkan vaksin Covid-19 biarpun tanpa kehadirannya di sisi. 

"Pada awalnya dia memang nak tunggu saya balik Malaysia dulu, kemudian bawanya ke pusat pemberian vaksin (PPV). Tapi, disebabkan kes semakin teruk dan buat ambil keputusan untuk pujuk mak ambil vaksin segera. 

"Jenuh jugalah nak uruskan kenderaan untuk mak pergi mendapatkan vaksin Covid-19 itu. Walaupun saya tiada disampingnya, tapi tanggungjawab sebagai anak tetap kena jalankan," katanya. 

Dalam masa sama, Raja Ilya turut berkongsi keadaannya di Perth disamping suami, Trent Garret selepas hampir tiga tahun mendirikan rumah tangga.  

"Kami akui beruntung di sini sebab keadaan Covid-19 agak terkawal, malah sektor ekonomi di sini sudah berjalan seperti biasa kerana kes di kawasan saya tidak tinggi. 

"Memandangkan usia perkahwinan saya sudah memasuki tahun ketiga, jadi rasanya kami selesa menetap di sini. Kami juga sudah membuka syarikat produksi dan menerima tempahan untuk penerbitan video korporat," katanya. 

 

 

 

Disiarkan pada: October 18, 2021 @ 7:17pm
d