rap

Wajah Myers hampir 'kantoi'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Bagi pencinta filem Halloween, tentunya faham bagaimana jalur cerita filem terakhirnya di mana watak misteri Michael Myers terjebak dalam insiden kebakaran.

Justeru, kesinambungan Halloween Kills berkisarkan peristiwa yang berlangsung selepas insiden kebakaran terbabit.

Penulis berasakan penonton yang menyaksikannya buat kali pertama agak sukar memahami cerita ini berbanding penggemar siri ini yang menonton sejak kali pertama diterbitkan pada 1978.

Untuk kali ini, penulis skrip dan pengarahnya menceritakan perjuangan wanita dari keluarga Laurie Strode, termasuk anaknya, Karen dan cucu, Allyson yang perlu berdepan realiti Myers yang ternyata belum mati.

Laurie (Jamie Lee Curtis) bersama anaknya, Karen (Judy Greer) dan cucu, Allyson (Andi Matichak) berjaya memerangkap pembunuh bertopeng terbabit di ruang bawah tanah mereka yang terbakar serta marak dijilat api.

Laurie yang mengalami kecederaan teruk dan dimasukkan ke hospital percaya dia berjaya membunuh pembunuh bersiri yang kejam itu.

Bagaimanapun, perkiraan dibuat Laurie tersasar kerana Myers diselamatkan pasukan bomba yang datang memadamkan kebakaran itu.

Sebagai 'balasan' seorang demi seorang anggota penyelamat dibunuh secara kejam oleh pembunuh 'psiko' terbabit.

Kali ini Myers benar-benar mengamuk apabila membunuh semua mangsanya dengan kejam serta tanpa belas kasihan.

Laurie sekeluarga terkejut dan tidak percaya bahawa Myers boleh terselamat dan kembali mengganas. Dia bertekad untuk mengakhiri riwayat lelaki kejam itu yang begitu menghantui kehidupannya selama bertahun-tahun.

Justeru, enggan mengalah mudah maka Laurie mengajak mereka yang antipengganas bekerjasama dengannya untuk mengakhiri tindakan 'jahat' Myers berkenaan.

Bagi penggemar cerita seram sebegini sudah tentu dapat mengagak kesudahan yang berlaku. Bagaimanapun, mereka tetap akan terkejut dengan babak mendebarkan dan dramatik di dalam filem ini.

Penonton juga hampir teruja untuk menatap wajah sebenar Myers apabila Karen berjaya menanggalkan topeng mukanya yang sekian lama 'melindungi' bayangan ngeri lelaki itu.

Bagaimanapun, seperti biasa keinginan melihat wajah sebenar Myers tetap terbantut apabila kebijakan David Gordon berjaya mengalih pandangan mereka sehingga beralih ke babak seterusnya.

• FILEM: Halloween Kills

• PENGARAH: David Gordon

• PENULIS SKRIP: Scott Teems, Danny McBride dan David Gordon Green

• PELAKON: Jamie Lee Curtis, Judy Greer, Andy Matichak, Anthony Michael Hall dan Nick Castle

• TERBITAN: Universal Pictures, Miramax, Blumhouse, A Malek Akkad dan Rough House Pictures

• TARIKH TAYANGAN: 14 Oktober 2021

• ULASAN: Ridzuan Abdul Rahman

(Ulasan filem ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan pemerhatian dan pengalamannya menonton filem berkenaan)

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 6:20am
d