rap

Sissy Priscillia dan Vanesha Prescilla tak pernah bersaing

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon yang juga pasangan adik-beradik, Sissy Priscillia dan Vanesha Prescilla tidak pernah bersaing antara satu sama lain untuk mencipta nama dalam industri perfileman Indonesia.

Sissy, 37, yang terlebih dulu berlakon menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta (AADC) berkata, baik dia mahupun adiknya tidak pernah diajar oleh ibu bapa mereka untuk mencemburui kejayaan yang dikecapi.

"Kami tak saling bersaing. Kami tak diajar orang tua untuk cemburu atas keberhasilan dan kejayaan saudara. Malah saya bangga dia (Vanesha) boleh meneruskan legasi saya dalam bidang seni.

"Kalau kita tengok semua filem lakonannya berjaya dan dia diterima ramai. Saya bangga sama dia malah jauh sekali nak berasa disaingi," katanya.

Sissy berkata demikian ketika ditemui pada sesi temubual bersama pelakon filem Backstage menerusi aplikasi Zoom, hari ini.

Filem arahan Guntur Soeharjanto dan diterbitkan Paragon Pictures dengan kerjasama Ideosource Entertainment, Endeavor Content dan NFC Indonesia itu menampilkan Sissy dan Vanesha selaku watak utama yang melakonkan watak adik-beradik.

Dalam pada itu, Vanesha, 23, yang juga pelakon filem Dilan 1990 berkata, dia yakin dengan filem Backstage kerana jalan cerita yang diketengahkan.

"Proses penggambaran filem ini bukan mudah. Selepas ia disiapkan, ada kegusaran juga sama ada ia ditayangkan di pawagam atau tidak ekoran situasi pandemik Covid-19. Apabila ia mula ditayangkan pada 30 Disember lalu, ramai memberikan komen dan respon positif. Filem ini sampai ke hati mereka.

"Itu memberikan satu kepuasan pada diri. Susah senang dapat semuanya dalam filem ini. Jadi, saya berharap apabila ia ditayangkan di Malaysia mulai esok dapat diterima baik," katanya.

Filem Backstage yang turut mendapat kerjasama Astro Shaw bakal ditayangkan di seluruh pawagam tanah air bermula esok.

Disiarkan pada: January 19, 2022 @ 5:14pm
d