rap

Arja Lee kini pensyarah di UMK

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Impian pelakon dan penyanyi Arja Lee, 39, menceburi bidang akademik menjadi kenyataan apabila dia kini bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) sejak beberapa bulan lalu.

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli berkata, dia memang sudah lama menyimpan hasrat untuk menabur ilmu kepada generasi muda berbekalkan pengalaman menjadi insan seni.

"Alhamdulillah, UMK menawarkan saya untuk berkhidmat menjadi pensyarah dalam bidang seni persembahan. Saya pun baharu saja menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang itu.

"Saya melihat tawaran itu satu rezeki yang cukup bermakna kerana inilah masa untuk berkongsi ilmu sebagai anak seni. Saya ingin melihat anak-anak muda kita bersedia dan cukup serba-serbi terutama yang ingin menceburi bidang seni.

"Saya berazam memikul tanggungjawab sebagai ahli akademik sebaiknya dan berbakti dengan ikhlas menabur ilmu. Jalan sudah terbuka dan saya perlu memanfaatkan sebaiknya kepercayaan diberikan UMK ini," katanya.

Pelakon filem …Dalam Botol itu juga merasakan sekarang tiba masanya dia fokus terhadap bidang akademik berbanding seni.

Menurutnya, amat penting memiliki jaminan kerjaya lain dan tidak bergantung semata-mata pada pekerjaan artis.

"Saya sudah berada di tahap yang berfikiran jauh ke hadapan mengenai arah tuju hidup saya. Saya mencari jaminan kerjaya yang mampu memberikan saya kepuasan selain tidak risau mengenai pendapatan.

"Kalau sekiranya bidang glamor bukan lagi fokus saya selepas ini, sekurang-kurangnya masih dapat gunakan ilmu seni dalam akademik. Dan saya yakin jalan dipilih ini yang terbaik," katanya.

Selepas beberapa tahun, Arja yang mengambil Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Seni di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak akhirnya menamatkan pengajian.

Dia juga semakin memperlahankan aktiviti seni dan aktif membabitkan diri dalam pelbagai program kebudayaan.

Disiarkan pada: April 13, 2022 @ 1:29pm
d