rap

'Kalau ada yang tahu, tahulah' - Amar Asyraf

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: "Saya tidak mahu mendedahkan apa-apa. Sesiapa yang berjiran dengan saya pasti tahu saya sudah berkahwin atau tidak. Namun, saya memilih untuk tidak berkongsi dengan umum".

Itu kata pelakon Amar Asyraf, 35, yang enggan mengiyakan dan menafikan berhubung status rumah tangganya.

Amar atau nama sebenarnya Amar Asyraf Zailuddin ketika dihubungi berkata, keutamaan kini diberikan terhadap kesihatan mentalnya berbanding kepentingan untuk memberi penjelasan kepada umum berhubung isu yang timbul.

"Tiada keperluan sebenarnya untuk saya jelaskan kepada umum berhubung status saya. Bagi saya, bukan nak merahsiakan tapi lebih memilih untuk privasi apabila membabitkan hal rumah tangga.

"Saya sebenarnya tak ada apa nak cakap atau beritahu apa-apa. Apa yang terjadi sebelum ini memberi pengajaran kepada saya. Jadi, saya mengambil pendekatan tidak mahu berkongsi apa-apa mengenai kehidupan peribadi. Kalau ada yang tahu, tahulah.

"Lagipun, saya berpegang dengan kata-kata beberapa ulama yang beritahu tak boleh kongsi usia, harta dan kisah keluarga kepada umum," katanya kepada Harian Metro.

Selepas kes cerai talak tiga dengan isteri keduanya selesai, nama Amar kembali menjadi tumpuan apabila didakwa sudah berkahwin kali ketiga.

Spekulasi itu bermula apabila tular foto mesra dia dengan seorang wanita dikenali sebagai Farhana mengenakan busana berwarna putih semalam.

Foto berkenaan yang dimuat naik pada 19 Mac lalu itu dipercayai daripada Instagram milik ibu kepada pelakon drama Perempuan Itu.

Selain itu, Amar turut berharap tiada mana-mana pihak mengganggu ketenangan keluarganya memandangkan dia kini lebih aktif dalam bidang perniagaan.

Menurut Amar, dia lebih memberi tumpuan kepada perniagaan menjual produk wangian menerusi laman sosial House Of Amar dan produk Dmgia.

"Kehidupan saya pun dah tenang dan berharap sangat tiada mana-mana pihak mengganggu kehidupan privasi saya sekeluarga. Saya pun sekarang lebih fokus kepada perniagaan," katanya.

Disiarkan pada: May 23, 2022 @ 3:18pm
d