rap

'Amelia Henderson, Idris Khan mengarut, tak profesional!' - A Aida [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Penerbit, Datuk A Aida menyifatkan tindakan pelakon, Amelia Henderson dan Idris Khan menarik diri di saat akhir dari penggambaran drama terbitannya sebagai sangat tidak profesional dan mengarut. 

Aida dalam sidang media hari ini berkata, dia akan mengambil tindakan tegas memfailkan saman terhadap mereka kerana melanggar kontrak penggambaran drama terbitan A. Aida Production (AAP) berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali dengan menarik diri di saat-saat akhir. 

Menurutnya, dia kehilangan kata-kata dengan dua pelakon itu melanggar kontrak yang sudah dimeterai.

"Kita dah tandatangan kontrak lama dan mereka dah ambil bayaran pendahuluan lima peratus. Paling saya tersentak bila Idris beritahu, dia ambil drama ini sebab Amelia, jadi bila Amelia tarik diri, dia tarik diri sama," katanya. 

Aida berkata, mereka sepatutnya menjalani penggambaran pada 16 Jun lalu, namun mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai hero dan heroin drama itu pada malam 15 Jun. 

"Nak pujuk itu tidaklah, 'no way'. Banyak kali pengarah, Riza telefon tapi tak angkat. Jadi kami anggap memang mereka tak mahu.

"Ketika sesi bacaan skrip, mereka datang. Dah terangkan mengenai watak. Lagipun, kita dah bayar semua peralatan, lokasi dah bayar semuanya, beratus ribulah. Ini RM1 juta punya projek," katanya. 

Aida atau nama sebenarnya Zaidah Awang, 52, tampil bersama pengarah drama terbabit, Riza Baharudin dan peguam dari tetuan Zulpadli & Edham, Ashmadi Othman pada sidang media itu. 

Aida berkata, dialah yang mempopularkan nama Amelia dan Idris dengan pelbagai drama popular tempatan dan tidak menyangka ini balasan yang diterimanya. 

"Nama Amelia meletup sebab drama saya iaitu Kisah Cinta Kita. Idris pula berlakon dengan saya, Fattah Amin yang bawa dia ke pejabat saya. Daripada kayu, seorang model, tak pernah berlakon, dengan AAP lah berlakon lepas satu, satu. 

"Saya tak sangka dia berperangai macam ni, sangat tak profesional," katanya.

Sementara itu, Riza berkata, dia sudah mengambil langkah memujuk kedua-duanya namun panggilan tidak berbalas. 

"Ikutkan masa sesi pembacaan skrip, kedua-duanya berminat tapi bila pihak Amelia kata skrip tak memenuhi kehendak dia, dia tarik diri. 

"Saya cuba untuk pujuk tapi bila orang dah tak mahu, saya tak boleh nak buat apa," katanya. 

Dalam pada itu, Ashmadi berkata, pihaknya sudah menghantar surat saman Rabu lalu dengan menyertakan beberapa tuntutan. 

"Pihak AAP ada menyebut di dalam surat tuntutan kerana Amelia dan Idris mungkir perjanjian dan ada beberapa perkara lain menyusul," katanya. 

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 6:07pm
d