rap

Hari pertama Mat Kilau cipta sejarah kutip RM1 juta

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Filem Mat Kilau mencipta sejarah apabila menjadi filem epik tempatan pertama mencatat kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangan, semalam.

Pengarahnya, Syamsul Yusof, 38, ketika dihubungi berkata, kejayaan awal diraih filem terbitan Studio Kembara itu adalah rezeki daripada Allah selain kerja keras yang sudah ditunjukkan semua pelakon dan pasukan penerbitan sepanjang proses penggambaran.

"Saya sebagai pengarah bersama pelakon dan pasukan penerbitan dengan rasa rendah diri, sangat bersyukur dengan pencapaian yang amat membanggakan ini. Seperti apa kita tahu, dengan ini Mat Kilau menjadi filem epik Melayu pertama kutipan tertinggi dalam sejarah bagi filem epik. Jadi tak dapat digambarkan dengan kata-kata. Syukur alhamdulillah. Rezeki daripada Allah. 

"Secara peribadi, saya dah banyak buat filem dan melalui fasa ini beberapa kali filem pecah rekod, jadi perasaan saya lebih pada menghargai karya saya selepas ini. Mengambil lebih serius dan terus belajar, belajar dan belajar demi memartabatkan industri filem Melayu yang mungkin pada segelintir memandang rendah. Pada saya kita orang Melayu tak kira apa jua bidang sama ada filem atau bidang lain kita orang Melayu jangan memandang rendah terhadap jati diri sebagai orang Melayu. 

"Kita juga hebat dan mampu bersaing dengan filem Hollywood lain. Kita mampu bersaing dengan dengan orang lain dalam apa juga bidang. Mat Kilau bukan saja pecah rekod pembukaan hari pertama malah mengetepikan filem Hollywood lain yang sedang ditayangkan di Malaysia," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syamsul, sebagai pengarah dan pengkarya filem dia tidak pernah meletakkan sebarang sasaran.

"Kalau bercakap soal sasaran untuk filem ini, saya selalu berpegang yang mana sasaran utama bukan berdasarkan terhadap kutipan, tapi apa yang pengkarya dan penerbit filem lain sepatutnya sasarkan adalah hasilkan karya yang menepati cita rasa penonton. Itulah sasarannya yang boleh beri kepuasan maksimum kepada penonton. 

"Ini kerana penonton sudah mengeluarkan duit mereka, jadi pengkarya harus menghargai perkara itu. Ditambah saya menghasilkan filem epik dan tokoh pahlawan. Jadi ketika hasilkan filem itu perlu terperinci, kesungguhan dan keikhlasan untuk hasilkan apa juga kerja dan karya. 

"Saya yakin apabila sesebuah karya hasil seni itu dibuat teliti dan bersunguh, insya-Allah penonton Malaysia hargai sesebuah karya itu. Ini terbukti dengan filem filem saya sebelum ini seperti Munafik 1, Munafik 2, KL Gangster, semuanya dihargai secara majoriti oleh rakyat Malaysia. Begitu juga dengan filem lain yang turut mendapat sambutan seperti filem Allahyarham Mamat Khalid dan beberapa filem lain," katanya.

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 6:21pm
d