rap

Eddie Hamid berdikir malam ini dan esok

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Penyanyi dan komposer Eddie Hamid, Roy Kapilla, Man Khan dan Aris Kapilla akan terbabit sebagai pendikir dalam program memancing sambil beramal (Dikir Barat Amal) bermula malam ini.

Program yang berlangsung di Pantai DCZ Seaview Seafood Perdana Resort PCB, Kota Bahru, Kelantan itu turut menampilkan ramai penggiat seni kelahiran Kelantan antaranya Fendi Kenali, Are Long PM II (Pok Leh Agogo), Rizal Ranjuna (Tok Jogho), Jen Endorro (Tukang Karut), Pok Nik Ha (Tukang Karut) dan Kumpulan Dikir Telaga Bata, Tumpat.

Eddie berkata, acara terbabit bukan sekadar untuk hiburan semata-mata tetapi diselitkan kerja amal untuk membantu anak yatim dan ibu tunggal.

"Untuk menonton persembahan dikir barat ini tidak dikenakan bayaran. Sebanyak 10 pendikir, termasuk kumpulan Dikir Telaga Bata, Tumpat akan menghiburkan penonton. Kami berhasrat untuk memberi sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal. Persembahan akan bermula pada jam 9 malam dan sepanjang ia berlangsung kami terbuka terima sumbangan daripada mana-mana pihak," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, persembahan serupa akan turut diadakan malam esok dengan menampilkan penghibur berbeza.

"Antara yang akan mengadakan persembahan ialah Shaq Mentor IV, Man Megat, Emie Sukma Sari, Raden Mas Uji, Yie Penglipurlara, Fakhru Anok Manja, Rizal Ranjuna (Tok Jogho), Badol Thailand (Tukang Karut), Tuan Kop Raja Saring (Tukang Karut), Kumpulan Dikir Telaga Bata, Tumpat.

"Saya juga sekali lagi akan terbabit buat penampilan khas sebagai pendikir. Untuk persembahan malam kedua, segala sumbangan akan diberikan kepada warga emas dan ibu tunggal," katanya.

Sementara itu, aktiviti lain iaitu pertandingan memancing turut diadakan esok menerusi Cabaran Memancing Pantai DCZ Seaview Seafood Perdana Resort PCB, Kota Bahru yang bermula pada jam 9 pagi hingga 1 petang. 

"Program ini anjuran DCZ Seaview Seafood Perdana Resort PCB dengan kerjasama Eddie Hamid Fan's Club (EHFC). Peserta hanya perlu membayar yuran penyertaan sebanyak RM80 untuk satu joran dibenarkan menggunakan dua mata kail saja untuk satu joran.

"Juara akan membawa pulang wang tunai RM10,000, naib juara RM2,000, tempat ketiga (RM1,000), diikuti keempat (RM400), kelima (RM200) dan  tempat keenam hingga ke-40 (RM160)," katanya. 

Selain itu, acara cabutan bertuah turut diadakan berupa sembilan barangan elektrik dan 50 hamper. 

Hadiah utama yang bakal dibawa pulang oleh peserta yang bertuah adalah untuk segmen Cabutan Bonanza, yang menawarkan sebuah motosikal.

 

 

Disiarkan pada: June 24, 2022 @ 7:56pm
d