rap

Gee berhasrat ziarah Roslan Aziz

Oleh Georgie Joseph

Putrajaya: Penyanyi Fauziah Latiff, 52, berhasrat menziarah penerbit muzik Roslan Aziz yang disahkan menghidap kanser limfoma.

Fauziah atau nama sebenarnya Siti Fauziah Sheikh Abdul Latiff tidak menafikan terkejut dengan berita itu selepas lama tidak mendengar khabar daripada Roslan.

"Memang terkejutlah. Saya pun baru tahu tempoh hari. Belum berkesempatan hendak menziarahnya sebab jadual kerja yang sibuk.

"Roslan pun menyepi agak lama juga. Saya pula baru balik dari penggambaran. Sebelum itu pun ada penggambaran lain," katanya.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Teratai Layu Di Tasik Madu berkenaan enggan bercakap lebih-lebih mengenai keadaan Roslan.

Menurutnya, dia mahu melihat sendiri keadaan terkini rakannya itu.

"Jadi kalau cakap apa-apa kepada umum pun tiada guna. Saya kena pergi ziarah sendiri," katanya.

Fauziah dan Roslan pernah berkongsi kerusi juri untuk program realiti nyanyian Malaysian Idol lebih sedekad yang lalu.

Terdahulu, dunia hiburan dikejutkan dengan laporan memaklumkan bahawa Roslan diuji menghidap kanser limfoma tahap empat dan dia dijangka hanya dapat hidup selama enam bulan.

Roslan adalah pengasas dan pemilik syarikat rakaman pertama di Malaysia, Roslan Aziz Productions (R.A.P) yang pernah menaungi artis-artis popular tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Zainal Abidin dan Atilia Haron. 

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 2:35pm
d