rap

Syamsul mahu atasi rekod peribadi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: "Saya memang mahu dan tentulah kalau diizinkan Allah, kalau ada rezeki saya nak mencantas rekod sendiri. Tak ada masalah pun."

Demikian kata pengarah Syamsul Yusof apabila ramai yang menjangkakan filem Mat Kilau mampu mengatasi filem arahannya, Munafik 2 yang mencatat kutipan RM48 juta membabitkan tayangan di Malaysia, Singapura dan Brunei.

Syamsul berkata, dia memang sentiasa mahu bersaing dengan diri sendiri dan mengatasi rekod sebelum ini.

"Saya akui banyak melihat momentum atau fenomena terhadap filem Mat Kilau ini. Malah ramai yang dah bercakap mengenai filem ini adakah bakal mengatasi kutipan filem Munafik 2 yang mana di Malaysia saja RM37.7 juta dan secara keseluruhan RM48 juta. Seperti semua tahu filem ini masih di tangga teratas filem paling laris dalam negara.

"Susah saya nak bagi pandangan mengenai perkara ini kerana kutipan tiket ini kita tak boleh terlalu yakin pada peringkat awal. Sebab kutipan tiket ini kadang tak seimbang, kadang momentum tak seimbang, pendek kata berubah-ubah.

"Bagaimanapun, saya akui momentum filem ini semakin bertambah dari sehari ke sehari. Kutipan hari bekerja pun masih kuat seperti hari cuti dan hujung minggu. Sekiranya filem Mat Kilau ini mengatasi filem Munafik 2, saya tidak ada masalah. Mudah-mudahan dan saya berdoa filem Mat Kilau ini, insya-Allah dan mungkin mengatasi filem Munafik 2. Kalau ia terjadi, itu pencapaian peribadi. Sebab saya memang bersaing dengan diri sendiri dan nak atasi rekod sebelum ini," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Syamsul, kejayaan diraih filem epik Melayu itu sedikit sebanyak membantu industri perfileman tempatan sekali gus membolehkan pengkarya dan penerbit lain menghasilkan filem yang berkualiti.

"Ini bukan untuk saya saja, tapi bagus untuk industri filem Malaysia dari segi ekonomi dan perkembangan filem. Apabila filem ini sukses lebih ramai penerbit menghasilkan filem dan akan mewujudkan peluang pekerjaan dan menambah baik ekonomi negara juga.

"Diharapkan dengan kejayaan kutipan filem Mat Kilau ini bukan saja membakar semangat saya untuk menghasilkan karya yang baik, tapi juga membakar semangat pengkarya dan penerbit lain dalam menghasilkan filem baik, berkualiti dan menepati cita rasa penonton," katanya.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara menampilkan barisan pelakon hebat seperti Datuk Adi Putra, Beto Kusyairy, Fattah Amin, Johan As'ari, Yayan Ruhan dan ramai lagi.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 3:47pm
d