rap

'Takkanlah saya nak tengking' - Mas Idayu

Oleh Affan Rostam

Kuala Lumpur: "Itu minggu pertama takkanlah saya nak tengking."

Demikian kata penyanyi, Mas Idayu, 50, selepas klip video lakonannya memarahi salah seorang peserta Ceria Popstar Xtra di salah erti oleh warga maya sehingga mengundang kecaman mereka.

Mas Idayu ketika dihubungi berkata, sangat jarang juri memberi komen seperti itu pada minggu pertama program lebih-lebih lagi ia adalah program yang membabitkan peserta kanak-kanak.

Tambahnya, dia tidak kisah jika masih ada individu yang mengecam atau meninggalkan komen negatif kerana di belakangnya pasti ada peminat yang akan sentiasa menyokong.

"Saya dah berusia jadi saya tahu apa perlu buat. Jarang persembahan minggu pertama juri akan tegur macam itu. Bila terus nak menilai, mereka akan cakap saja sesuka hati.

"Untuk video yang semalam itu saya tak tahu sampai ada orang yang marah. Saya tak kisah, biarkan saja mereka. Tapi peminat-peminat saya memang sentiasa menyokong sebab mereka dah kenal saya. Mereka tahu bagaimana saya bekerja.

"Bagi saya itu tiada masalah dan kalau mereka rasa nak minta maaf pun tiada masalah. Saya akan lakukan sebaik mungkin demi bakat-bakat baharu itu. Untuk orang yang mengata, mereka kena tengoklah program itu. Kalau tengok mereka akan tahu cerita sebenarnya," katanya kepada Harian Metro.

Jelasnya, ini adalah kali pertama dia membabitkan diri dalam rancangan kanak-kanak, jadi dia perlu memastikan emosi serta komen yang diberikan bersesuaian dengan senario program itu.

"Ini pertama kali saya bekerja dengan kanak-kanak. Jadi, saya akan cuba sebaik mungkin untuk kawal emosi dan sebagainya sebab sebelum ini saya dah biasa bekerja dengan peserta-peserta dewasa.

"Teguran saya sebenarnya sama saja dengan orang dewasa cuma saya akan kawal tahap kemarahan itu. Untuk orang dewasa kena tegas sebab mereka dah faham tapi untuk kanak-kanak saya kena jaga sebab takut nanti mereka terus tak boleh nak buat persembahan jika terlalu tertekan," katanya.

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 5:08pm
d