rap

12 tahun mendidik ummah

Oleh Sudirman Mohd Tahir

1 Muharam 1444H lalu cukup bermakna kerana tarikh istimewa ini menyaksikan TV AlHijrah menginjak usia 12 tahun selepas memulakan siaran secara rasmi pada 1 Muharam 1432H (2010).

Walaupun masih mentah jika dibandingkan dengan stesen televisyen yang lain, kehadiran TV AlHijrah dalam mewarnai atmosfera penyiaran negara meninggalkan kesan positif terutama dalam mencorak industri penyiaran berkonsepkan Islam di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, bukan mudah untuk TV AlHijrah mampu duduk sebaris dengan stesen penyiaran lain dalam dan luar negara.

"Selama 12 tahun mempertahankan jenama penyiaran Islam bukannya satu tempoh yang singkat, namun semuanya berbaloi apabila penonton setia stesen ini menjadikan TV AlHijrah madrasah ilmu di kaca televisyen dan di aplikasi telefon bimbit mereka.

"Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada penonton yang sentiasa menyokong usaha dakwah TV AlHijrah. Sebagai tanda penghargaan sepanjang 12 tahun ini, kami turuti kehendak mereka yang mahukan stesen ini tampil utuh di platform digital. Oleh yang demikian, kami beriltizam untuk memperkemaskan kandungan TV AlHijrah di aplikasi AlHijrah Plus (AH).

"Pemilihan tema 'Satukan Ummah dengan Ilmu' sangat bertepatan dalam menterjemahkan hasrat kami untuk menyemarakkan sambutan ulang tahun ini. Kami mahu penonton semua menjadikan TV AlHijrah sebagai 'qalbu ilmu', tonggak utama yang membentuk kekuatan ilmu dan kesatuan ummah," katanya.

Menurut Namanzee, sudah sampai masanya TV AlHijrah tampil agresif dan progresif dalam membangunkan jiwa ilmu yang membolehkan masyarakat madani berkembang seperti yang dituntut oleh ajaran Islam.

"Justeru itu, bermula sekarang hingga hari mendatang, kami dedikasikan dwiplatform kami iaitu platform televisyen dan platform digital sebagai gedung ilmu yang diyakini mampu memacu kepesatan ilmu bermanfaat yang membangunkan negara dan kesatuan ummah. Tontonlah kami untuk meraikan dan menghargai kepelbagaian ilmu, pendapat serta pandangan.

"Sedari awal penubuhan, TV AlHijrah sudah menerbitkan pelbagai genre program yang berjaya meraih peratusan tontonan yang tinggi. Antaranya, Berita AlHijrah, #MY QuranTime, Assalamualaikum, Assalamualaikum Sahur, Analisis, Ayat Riwayat, Labbaikallah, Cinta Ilmu, Dialog Harmoni, Ejen Halal, Hijrah Berselawat, Gema Haflah, Camca dan pelbagai rancangan istimewa yang lain.

"Bergerak ke hadapan, kami sajikan pelbagai sajian yang menyatupadukan ummah dengan ikatan ilmu seperti rancangan Murobbi, Dakwah Live, Assalamualaikum Subuh, Akademi Qurra', Akademi Daie Muda YADIM, Komedi Dakwah, Dokumentari Tabligh, Majalah Islam dan banyak lagi," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 6:47am
d