rap

Fauzi Nawawi, Lisdawati buka kafe untuk persediaan masa depan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur : Kebimbangan terhadap masa depannya dalam bidang seni membuatkan pelakon, Fauzi Nawawi dan isterinya Lisdawati bercadang untuk membuka perniagaan makanan dalam masa terdekat.

Fauzi, 49, atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Mohd Nawawi berkata, statusnya yang kini sudah bercucu membuatkannya berfikir panjang mencari sesuatu yang lain dalam hidupnya.

"Saya lebih banyak berfikir ke arah itu. Tambah lagi jika nak berlakon sesuatu watak terutamanya watak jahat. Saya terfikir mendalam kerana ia akan bagi kesan dulu pada anak dan sekarang cucu.

"Watak yang dapat sekarang pun bapa-bapa dan yang baik-baik kerana watak jahat dah kurang. Tawaran begitu pun dah kurang yang datang.

"Bila ia kurang, saya perlu buat persiapan ke arah kerjaya lain seperti persediaan dengan isteri untuk buka kafe di Bukit Bintang," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka kini dalam persediaan untuk melancarkan kafe itu selewat-lewatnya hujung bulan ini atau awal Januari tahun depan.

"Kami berhasrat nak wujudkan konsep francais di seluruh negara. 70 peratus persediaan dah siap tapi namanya belum ada. Ada empat cawangan di Kuala Lumpur dan Selangor yang akan dimiliki oleh kami. Manakala di seluruh Malaysia ada 26 francais.

"Konsep makanan nanti ialah masakan Semenanjung dan dari Sabah. Resipi makanan Semenanjung adalah daripada isteri saya sendiri," katanya.

Fauzi melahirkan perasaan teruja untuk memiliki kafe sendiri terutamanya apabila melihat kejayaan orang lain dalam perniagaan makanan.

"Jika tiada tawaran berlakon sekurang-kurangnya saya boleh buat sesi live Instagram dan TikTok dengan peminat. Pada masa yang sama, bila ada kedai makanan, kami boleh banyak bersedekah kepada golongan

yang memerlukan," katanya.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 5:05pm
d