rap

'Sheila Rusly buat benda betul' - Norman

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif KRU Music, Datuk Norman Abdul Halim tampil mempertahankan pelakon dan penerbit, Sheila Rusly yang menerima kecaman netizen berikutan tindakannya selaku juri sebuah program masakan yang dikatakan mengeluarkan komen dianggap biadab terhadap peserta. 

Norman sebagai individu yang berpengalaman menerbitkan rancangan realiti di negara ini berkata, apa yang dilakukan itu adalah sekadar kandungan program. 

"Saya sendiri pernah jadi juri dalam pelbagai program realiti TV. Sememangnya setiap juri atau tenaga pengajar dikehendaki memainkan watak berbeza dan tidak semestinya menggambarkan keperibadian kami yang sebenar. 

"Jujurnya, komen negatif yang dilempar oleh netizen terhadap Sheila membuatkan saya tertarik untuk menonton rancangan ini dari mula sampai ke akhir siaran.

"Saya melihat Sheila memainkan peranan yang sangat baik sebagai pengkritik tegas untuk menimbulkan suspens dan drama dalam rancangan terbabit," katanya.

Menurutnya, watak yang dibawakan Sheila juga ibarat sikap tegas seorang guru di sekolah yang mahu melihat anak didiknya berjaya dan menjadi lebih baik.

Norman yang pernah terbabit dalam Akademi Fantasia berkata, rancangan realiti di Barat lebih dahsyat dengan elemen drama yang dipaparkan termasuk membuang masakan ke dalam tong sampah atau mencampakkan ke muka peserta.

"Di Barat, ada rancangan pertandingan memasak popular dikendalikan oleh Gordon Ramsey. Dia turut menghentam peserta dengan kritikan-kritikan pedas hingga menjadikan rancangan TV terbabit popular di serata dunia. Sama juga watak yang dibawa oleh Sheila ibaratnya seperti antagonis dalam drama di kaca TV dan tidak wajar dihina secara peribadi di media sosial," katanya.

Pada masa sama, Norman turut mengucapkan tahniah kepada Sheila kerana menyuntik nafas baharu dalam program TV khususnya bagi rancangan masakan di Malaysia.

Disiarkan pada: December 7, 2022 @ 9:51pm
d