rap

Mahu lerai kemelut

Oleh Zaara Talita

Bekas anggota VE Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) iaitu Cham menjelaskan Zaf mengambil pendekatan mengundurkan diri daripada program nyanyian itu pada saat akhir selepas sudah menandatangani perjanjian dengan penganjur.

Cham atau nama sebenarnya, Charma Adizalilullah Abdul Khalil berkata, sikap 'veto' Zaf yang melantik dirinya sendiri sebagai ketua kumpulan itu.

"Saya sebenarnya malas hendak membuka kisah lama, namun kami perlu menjelaskannya untuk menjernihkan keadaan yang semakin keruh ini. Kami sebulat suara sebenarnya, sudah mencapai kata sepakat tiada ketua kerana apasaja perkara dibincangkan bersama.

"Pada mulanya, saya sendiri tidak mahu menyertai mana-mana pertandingan. Namun, Zaf yang menyakinkan saya untuk menyertai GV9. Tapi, sehari sebelum sesi fotografi untuk GV9, Zaf meluahkan hasrat tidak mahu bertanding atas alasan tidak bersedia.

"Tidak adil dan melanggar kontrak sekiranya menarik diri pada saat akhir, kerana kita sudah menandatangani perjanjian. Malah, Zaf sendiri yang mencadangkan Fakhiz selaku 'pemain simpanan' bagi menggantikan dirinya yang perlu ke Saudi selama dua minggu.

"Jadi tidak timbul isu kami membuang atau menyingkirkannya daripada kumpulan VE kerana dia memang tidak mahu terbabit dengan GV9. Kumpulan Whatsapp itu diwujudkan untuk berbincang mengenai perjalanan dan perjuangan kami dalam GV9.

"Malah, sebelum naik ke pentas juga kami turut menelefon Lah, Syah, Zaf dan Damian. Bukan untuk meminta restu, sebaliknya lebih indah jika mereka dapat membuat persembahan bersama-sama," katanya.

Menurut Cham, Adeep dan Hakim turut dipelawa oleh anggota asal VE untuk menyertai kumpulan itu sekitar tahun 2018.

Cham turut meluahkan rasa terkilan apabila isu remeh ini digembar-gemburkan oleh segelintir pihak.

Malah, Cham turut mendakwa Zaf juga ada menghubungi dan meminta pihak Astro untuk menukar nama penerima bayaran konsert mingguan kepadanya.

"Hal ini terlalu remeh untuk diperbesarkan. Memandangkan anggota VE yang bertanding di GV9 membuat keputusan untuk keluar, maka saya yang juga ahli VE sejak 1998 juga mengundurkan diri.

"Kami bakal tampil dengan nama yang baharu dan single dalam tempoh terdekat. Saya berharap semuanya dipermudahkan," katanya.

Keputusan yang disuarakan Adeep untuk mengundurkan diri daripada VE itu turut disokong dan juga disusuli oleh tiga lagi anggota VE yang berjuang di GV9 selama 11 minggu.

Terdahulu, ahli asal VE iaitu Zaf yang mendakwa dirinya sebagai ketua kumpulan memberi saranan agar anggota yang menggunakan nama terbabit dalam GV9 supaya bergerak dengan menggunakan nama baharu.

Menurutnya, tindakan ini dilakukan bukan untuk mengeruhkan keadaan, sebaliknya bertujuan menjaga hubungan silaturahim antara mereka selain mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pelbagai pihak.

Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 6:35am
d