rap

'Hentikan lantikan politik dalam Finas!' - Seniman

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Prof Dr Md Nasir Ibrahim bahawa penggiat-penggiat seni harus merujuk peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 bagi had kerja lebih masa dalam penggambaran adalah jawapan yang amat dangkal sekali dan bagai melepaskan batuk di tangga.

Ia berhubung dakwaan pelakon, Sharnaaz Ahmad mengenai 'dilenjan' bekerja lebih 20 jam di lokasi penggambaran yang tular, baru baru ini.

Seniman dalam satu kenyataan berkata, akta itu hanya relevan membabitkan semua sektor pekerjaan kecuali sektor industri kreatif yang mana pekerjaan di dalam industri tidak sesuai diguna pakai dan cara bekerja serta

masa bekerja penggiat seni amat berbeza berbanding sektor-sektor lain.

"Bayangkan pelakon, kru, pengarah dan kategori seni yang sewaktu dengannya menggunakan Akta Kerja 1955. Ini bermakna gaji minimum sebanyak RM1,500 yang diumumkan kerajaan, had masa bekerja lapan jam yang digunakan waktu pejabat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara wajib dicarumkan oleh majikan.

"Apabila secara dasarnya merujuk akta itu yang disarankan oleh Finas secara logik akalnya boleh terpakai kepada penggiat seni yang membuat penggambaran dan persembahan? Jadi, apa gunanya Seniman berjuang untuk mendapatkan Perkeso di bawah Skim Pekerjaan Sendiri kategori penggiat seni selama berpuluh tahun?

"Berjuang untuk mendapatkan standard kontrak yang adil supaya KWSP dapat dicarumkan, berjuang bagi mewujudkan Akta Industri Kreatif Malaysia seperti mana nelayan mempunyai akta mereka sendiri di bawah Akta Persatuan Nelayan 1971? Dalam isu ini, adakah nelayan juga perlu merujuk Akta Kerja 1955 bagi had kerja lebih masa atau gaji minimum?" katanya.

Seniman juga menegaskan bahawa industri kreatif adalah pekerjaan yang berbeza. Jawapan Finas supaya penggiat seni merujuk Akta Kerja 1955 untuk menyelesaikan masalah had kerja lebih masa adalah sangat tidak relevan.

"Jadi, apa fungsi Finas? Finas diwujudkan untuk membantu industri kreatif bagi melaksanakan hala tuju lebih jelas, suasana yang baik dan mencipta dasar ekosistem asas dengan kerjasama persatuan-persatuan seni sebagai panduan kepada pemain-pemain industri dan penggiat seni Malaysia.

"Ketua Pegawai Eksekutif Finas bagai 'lepas tangan' dan tidak faham akta Finas itu sendiri di bawah Akta 244 Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan) 2013. Beliau hanya merujuk akta-akta agensi dan kementerian yang lain untuk menyelesaikan isu industri, Ini amat mengecewakan!.

"Sebagai seorang Ketua Pegawai Eksekutif, beliau sepatutnya lebih arif menyelaraskan isu-isu industri merujuk akta-akta yang berkaitan dan bertindih supaya ia dapat diselaraskan selari dengan Akta 244 Finas bagi mempermudahkan Finas menyelesaikan isu-isu berbangkit dan bertindih yang membabitkan industri tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku," katanya.

Seniman berharap agar Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil mengkaji semula perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif Finas secara lantikan politik selama dua tahun kerana melalui pengalaman Seniman selama ini, tidak pernah dapat menyelesaikan masalah industri mengikut bidang kuasa Finas.

Justeru, Seniman mencadangkan supaya pelantikan jawatan itu secara lantikan politik perlu dihentikan. Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif atau Ketua Pengarah harus berlaku secara semula jadi di peringkat dalaman Finas itu sendiri di mana pegawai, pengarah atau timbalan ketua pengarah yang layak bagi mengelak masalah birokrasi serta ketirisan pentadbiran Finas.

Menurut Seniman, sekiranya ia tidak ditangani awal nescaya, masalah yang diselubungi penggiat-penggiat seni di dalam industri kreatif negara selama puluhan tahun ini tidak akan dapat diselesai sampai bila-bila.

Disiarkan pada: January 4, 2023 @ 5:44pm
d