rap

Mentega Terbang tidak lagi ditayang di Viu

Oleh Affan Rostam

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memaklumkan, platform penstriman Viu hentikan tayangan filem kontroversi, Mentega Terbang pada 27 Februari lalu.

SKMM menjelaskan, walaupun tidak mempunyai kuasa menapis filem dan drama televisyen kerana tidak berada di bawah bidang kuasanya, suruhanjaya itu sudah menghubungi Viu sebelum mengesahkan penamatan filem Mentega Terbang.

Dalam masa sama, SKMM berkata, pihaknya komited bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi memantau sebarang kandungan yang bercanggah dengan ajaran Islam.

"Seksyen 3 (3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 menyatakan bahawa penapisan filem atau drama pada platform penstriman tidak terletak di bawah bidang kuasa SKMM.

"SKMM akan sentiasa bekerjasama dan memberi sokongan teknikal kepada jabatan agama negeri untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah," katanya," katanya dalam satu kenyataan.

Filem Mentega Terbang menyentuh perbezaan dan persamaan agama-agama utama di Malaysia mendapat kritikan orang ramai dan penggiat seni berikutan tayangannya di Viu, bulan lalu.

Justeru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, berkata Jakim akan bertemu pasukan produksi filem terbabit.

Na'im berkata, Jakim sudah menyemak kandungan filem itu dan mendapati ia bertentangan dengan akidah Islam.

Sementara itu, Lembaga Penapisan Filem (LPF) menjelaskan, pihaknya tidak mempunyai kuasa ke atas filem bebas terbitan tempatan itu kerana ia hanya dikeluarkan secara dalam talian.

Terdahulu, babak watak utama, Aisyah mahu memakan daging babi menjadi tular berserta babak bapa membenarkannya meninggalkan Islam dan memeluk agama lain.

Ia sekali gus menimbulkan kemarahan pengguna dalam media sosial, malah ada yang mempersoalkan bagaimana filem berkenaan dibenarkan untuk ditayangkan bagi tontonan umum.

Filem Mentega Terbang arahan Mohd Khairi Anwar Jailani diterbitkan Anomalist Production dan Meng Kheng Entertainment dengan menampilkan pelakon Syumaila Salihin, Firdaus Karim, Nik Waheeda, Arjun Thanaraju, Khairunazwan Rodzy, Shyamala Kandapper dan Jesebel Lee.

Disiarkan pada: March 4, 2023 @ 1:31pm
d