rap

'Kamal Adli yang baik pun orang nak pukul?' - Budi Doremi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Indonesia, Budi Doremi, 39, yang akrab dengan Kamal Adli, 37, mendoakan pelakon itu segera sembuh dan kembali bekerja semula selepas insiden diserang dan dipukul di Singapura, baru-baru ini.

Budi berkata, Kamal sepatutnya hadir ke konsert membabitkannya baru-baru ini tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana kejadian mengejut yang menimpanya itu.

"Kamal ada meminta maaf kerana tak boleh datang kerana dia masih belum boleh keluar. Memang saya ada jemput dia sudah lama sebelum kejadian itu.

"Saya pun belum berkesempatan untuk berjumpanya disebabkan jadual kerja sangat padat. Kalau ikutkan, nak sangat jumpa kerana dia antara rakan terdekat saya di Malaysia dan dia sangat baik.

"Mudah-mudahan Kamal cepat sembuh, cepat kembali lagi boleh bekerja," katanya yang menjayakan Konsert Dream Festival Collaboration: Nidji x Budi Boremi anjuran Inspire IDN berlangsung baru-baru ini di Zepp Kuala Lumpur, di sini.

Menurut Budi, kali terakhir dia berjumpa suami kepada pelakon Uqasha Senrose itu adalah pada Oktober tahun lalu. Dia hairan kenapa Kamal boleh dipukul kerana dia orang baik.

"Kamal tidak mempunyai musuh. Namun, sebaik-baiknya orang masih ada yang tak suka juga akhirnya," katanya.

Berkongsi pandangan adakah perlu untuk mengupah pengawal peribadi, penyanyi Tak Kan Hilang itu percaya insiden sebegitu tak mampu diduga sesiapa.

"Kalau dalam Islam, lebih baik kita tawakal. Hal yang kita tak tahu dan tak dapat pastikan, kena tawakal pada Allah saja.

"Tapi, sebaiknya pada acara sebegitu amat perlu ada kawalan keselamatan yang kukuh. Ia perlu cukup dipastikan dengan baik demi kelancaran acara," katanya.

Pada 12 Mac lalu, Kamal diserang lelaki tidak dikenali menggunakan cota besi ketika pada acara Hari Raya Mega Sale 2023 di Singapura.

Akibat serangan itu, dia mengalami kecederaan pada belakang kepala, muka dan badan.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 12:29pm
d