rap

Syamsul kecewa tak dapat jumpa Puteri Sarah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengarah sensasi, Syamsul Yusof meluahkan rasa kecewa apabila harapan untuk bertentang mata dengan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini, hari ini tidak kesampaian.

Syamsul yang diwakili sepupunya, Muhammad Nazri bagaimanapun menghormati proses yang dijalankan hampir dua jam itu walaupun dibuat secara berasingan hingga menyukarkan dirinya untuk mencari jalan perdamaian.

"Melalui proses JKP pagi ini saya harap dapat berjumpa Sarah, tapi malangnya proses itu dijalankan secara berasingan. Saya akur dan mengharapkan masalah rumah tangga kami ini dapat diselesaikan secara baik.

"Saya mahu Sarah menerima poligami ini. Saya ingin berbincang dalam seminggu berapa hari kami boleh berjumpa. Kalau dia tidak mahu, saya tetap ingin berbincang.

"Saya sangka dapat bersemuka dengan dia tadi tapi proses JKP bukan sebegitu. Jadi saya agak kecewa namun hanya ikut proses mahkamah dan mampu buat yang terbaik,"katanya ketika ditemui selepas proses JKP berakhir yang dianggarkan berlangsung hampir dua jam.

Menurut Syamsul, penyelesaian untuk berpisah bukan satu keputusan yang mudah untuk dilakukan, sebaliknya banyak faktor lain yang perlu difikirkan.

"Orang selalu cakap kenapa saya enggan menceraikan Sarah. Pertama sekali, kami adalah pasangan suami isteri dan lebih tahu urusan rumah tangga dan hal dalam kain.

"Perceraian bukan hal yang mudah untuk dilakukan. Hakikatnya ramai orang yang mengalami masalah besar selepas bercerai seperti tuntutan hak penjagaan anak, nafkah dan macam-macam lagi.

"Jadi sebab itulah saya nak sangat bertemu Sarah untuk berbincang dan menyelesaikan masalah ini dengan baik dan harmoni,"katanya.

Dalam masa sama, Syamsul memberitahu, dia akan mempertimbangkan permintaan Sarah untuk dilepaskan sekiranya wanita itu bersedia untuk bersemuka.

Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes itu disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.

JKP merangkumi anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan mereka dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan penceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Puteri Sarah dilaporkan nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Berdasarkan dokumen diperoleh, antara alasan yang dikemukakan Puteri Sarah untuk bercerai adalah sudah tidak ada persefahaman dan berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri, menurut hukum syarak.

Puteri Sarah dan Syamsul berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Disiarkan pada: March 24, 2023 @ 1:13pm
d