rap

Shashic kini suami Filzah

Oleh Georgie Joseph

 

Kuala Lumpur: Pelawak Shashic Iewan, 32, bersyukur selamat bernikah dengan sekali lafaz bersama cinta hatinya juga pelawak Filzah Azmi, 33, hari ini.

Shashic atau nama sebenarnya Muhammad Noor Shashic Iewan berkata mereka sudah lama menjalin hubungan dan akhirnya ke jenjang pelamin.

"Hubungan kami sebenarnya sudah lebih tujuh tahun. Bahkan sebelum jadi pelawak lagi pun," katanya.

Pasangan terbabit dinikahkan bapa pengantin perempuan iaitu Azmi Ghazli disaksikan Penolong Pendaftar Pernikahan Titiwangsa, Kuala Lumpur, Mohd Fauzi Bashah.

Diadakan di Doplohtiga Space Kuala Lumpur Shashic menyerahkan mas kahwin sebanyak RM100 berserta lima dulang hantaran. Filzah membalas tujuh dulang hantaran kepada pengantin lelaki.

Diraikan keluarga kedua-dua belah pihak, upacara pernikahan turut dihadiri rakan-rakan pelawak berkenaan.

Filzah yang juga seorang pelawak dan anggota kumpulan Awok berkata kerana gagaplah dia tertarik kepada Shashic dan berharap perkahwinan mereka berkekalan.

"Saya bersyukur majlis yang dirancang berjalan lancar. Sebagaimana pasangan lain, saya berharap perkahwinan kami berkekalan sehingga ke akhir hayat," katanya.

Terdahulu, Shashic dan Filzah sudah mengikat tali pertunangan pada tahun lalu.

 

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 9:14pm
d