rap

Gandingan D'Masiv, Giring tak kesampaian

Oleh Zaara Talita

Kuala Lumpur: Atas faktor yang tidak dapat dielakkan, kumpulan D'Masiv tidak dapat berkongsi pentas bersama bekas vokalis Nidji dalam Konsert D'Masiv Road To The World yang berlangsung di Zepp, di sini, malam tadi.

Biarpun tidak dapat membuat persembahan, Giring turut hadir tanda sokongan terhadap D'Masiv yang meraikan sambutan ulang tahun ke-20 kumpulan itu bersama peminat di Malaysia.

"Saya ingin berkongsi khabar kurang enak, Giring tidak dapat bersama-sama saya untuk menghiburkan anda. Biarpun tidak dapat membuat persembahan, Giring turut hadir memberikan sokongan.

"Semoga kami mempunyai kesempatan untuk berkongsi pentas yang sama menghiburkan anda pada masa akan datang. Oleh itu, saya bakal mendendangkan lagu Hapus Aku khas buat peminat-peminat Giring dan Nidji," kata Rian vokalis D'Masiv.

Rian bagaimana pun tidak memperincikan butir lanjut mengenai perkara itu namun disambut baik oleh peminat yang hadir memeriahkan konsert terbabit.

Penuh energi mempersembahkan lagu Hapus Aku sebaik mungkin, Giring turut berdiri di bahagian atas ruang legar penonton sepanjang lagu berkenaan dinyanyikan.

Malah, dia turut berpuas hati dengan persembahan D'Masiv sambil menunjukkan tanda terima kasih kerana menyelitkan lagu berkenaan.

Terdahulu, penyanyi, Pusakata yang diundang sebagai penyanyi jemputan juga dikhabarkan tidak tampil membuat persembahan pada malam pertama konsert D'Masiv.

Konsert bagaimanapun berlangsung dengan penuh meriah dan dibanjiri sekitar 2,000 penonton malam tadi.

Band yang dicungkil bakal daripada program nyanyian itu mempersembahkan 26 buah lagu antaranya adalah Di Antara Kalian, Rindu Setengah Mati, Tak Bisa Hidup Tanpamu, Merindukanmu, Pergilah Kasih, Cinta Ini Membunuhku dan banyak lagi.

Sebelum itu, berikutan sambutan hangat peminat, penganjur Neptunes Presents menambah satu hari lagi malam khas buat penggemar band kelahiran Indonesia itu.

Kumpulan D'Masiv dianggotai oleh Rian Ekky Pradipta selaku vokalis, Dwiki Aditya Marsall (gitar), Nurul Damar Ramadan (gitar), Rayyi Kurniawan, Iskandar Dinata (bass) dan Wahyu Piadji (dram).

D'Masiv akan meneruskan siri jelajah seterusnya di Jakarta, Indonesia pada 1 Julai depan, diikuti Singapura pada 6 Julai. Selain akan terbang ke Australia dan Amerika Syarikat untuk siri jelajah, tahun ini.

Sementara itu, penganjur, Neptunes Presents akan meneruskan projek Senandung Malam Volume 3 dengan membawa kumpulan popular Indonesia pada September ini.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 2:54pm
d