rap

Polis Evo 3 kutip RM30 juta

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Filem aksi, Polis Evo 3 mencatat jumlah kutipan RM30 juta dalam tempoh 10 hari pertama tayangannya di pawagam seluruh negara.

Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ramai penonton yang mengulang tonton di pawagam dan berharap agar filem ini akan terus menerima sambutan menggalakkan.

"Selepas seminggu tayangan di pawagam, kami mendapati penonton yang sudah menyaksikan filem ini, mula ulang tonton di pawagam.

"Memandangkan sekarang kita berada di penghujung cuti sekolah, kami mengharapkan filem Polis Evo 3 masih menjadi pilihan mereka di luar sana.

"Terima kasih kepada semua yang telah meletakkan kepercayaan dan memilih filem Polis Evo 3," katanya kepada Harian Metro.

Polis Evo 3 arahan pengarah Syafiq Yusof mula ditayangkan di pawagam pada 25 Mei lalu membariskan antara pelakon hebat seperti Shaheizy Sam, Zizan Razak, Shaarnaz Ahmad, Nora Danish dan ramai lagi.

Disiarkan pada: June 4, 2023 @ 3:32pm
d