rap

Ayda, Nabil bakal sambut bayi lelaki

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pasangan selebriti Ayda Jebat dan Nabil Mahir menerima kejutan apabila bakal menimang cahaya mata lelaki untuk anak kedua mereka. 

Berita gembira itu hanya diketahui Ayda dan Nabil sebaik menonton video muzik single terbaharu penyanyi itu berjudul Be Mine yang dilancarkan sebentar tadi.

Ayda berkata, jantina bayi keduanya hanya diketahui pengarah video muzik Be Mine,  Rewan Ishak selepas memberikan sampul yang mengandungi maklumat jantina anak mereka kepada pengarah itu.

"Sebenarnya saya dan Nabil memang tak tahu jantina anak kedua kami. Hanya Rewan saja yang tahu. 

"Jadi ketika proses penggambaran dijalankan, Rewan membuat dua versi kejutan sama ada bayi kedua ini lelaki atau perempuan. Proses suntingan pun dia buat seorang diri.  

"Jadi tayangan video muzik hari ini adalah satu kejutan buat kami sekali gus mengundang pelbagai emosi," katanya. 

Pengumuman bayi lelaki untuk cahaya mata kedua turut menyentuh emosi pasangan itu yang kelihatan sebak selain terdapat tetamu yang mengalirkan air mata. 

Malah Nabil sujud syukur sejurus mengetahui jantina anak keduanya yang dijangka lahir hujung tahun ini. 

Dalam masa sama, Ayda turut meraikan ulang tahun puteri sulungnya, Ana Nayla yang kini berusia dua tahun.

"Kami memang sudah lama rancang majlis hari ini memandangkan lagu Be Mine ini sudah tiga tahun disiapkan dan hari ini adalah hari yang paling sesuai untuk dilancarkan lebih-lebih lagi tarikhnya hampir dengan ulang tahun Nayla.

Ayda dan Nabil mendirikan rumah tangga pada 1 Januari 2021. Pasangan ini menerima kelahiran Ana pada 21 September 2021.

 

Disiarkan pada: September 23, 2023 @ 6:46pm
d