Kuala Lumpur : "300, tunai."
Ini yang disebut penyanyi, Noh Salleh ketika lafaz nikah di majlis pernikahannya dengan Fatin Athirah Mustapa, semalam.
Noh yang juga penyanyi Hujan sepatutnya menyebut 300 Ringgit tunai dan bukannya 300 tunai. Kesilapan itu mengundang ketawa tetamu yang hadir dan akad nikah perlu dilakukan sekali lagi.
Dalam video yang dikongsikan pelakon, Nabila Huda di Instagram Story itu, Noh kelihatan gementar untuk menyempurnakan akad nikah itu.
Dalam video itu, jurunikah menjelaskan kepada Noh, sebutan nilai mas kahwin yang betul iaitu RM300.
"RM300 (ringgit), tunai," katanya.
Noh kemudian baru menyedari dia tersilap sebelum diusik tetamu yang hadir, diiringi ketawa melihat gelagatnya.
"Muka serius itu, dah sampai. Tapi... okay, kamera 'roll', 'take two'!" tulis Nabila dalam hantaran itu.
Semalam, Noh atau nama sebenarnya Mohammad Noh Salleh, 38, sah bergelar suami kepada Fatin Athirah, 30.
Terdahulu, Noh dan Athirah mengikat tali pertunangan pada 7 Mei lalu di acara rumah terbuka Aidilfitri.
Noh sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Mizz Nina pada 2 Julai 2011, namun bercerai pada Ogos lalu.