rencana

Merealisasi dua peninggalan Nabi

Oleh Dr Nor Shahidah Paad

Jika ditelusuri kisah penghijrahan Nabi SAW dan sahabat, penghijrahan yang dimulakan pada bulan Safar itu bukanlah suatu kebetulan. Begitu banyak cabaran dan halangan yang perlu dilalui bagi melakukan penghijrahan berkenaan. Pelbagai usaha dilakukan oleh kaum musyrikin Makkah untuk menggagalkan penghijrahan umat Islam ke kota Madinah. Adai antara sahabat yang dipisahkan daripada isteri dan anak lalu terpaksa meninggalkan kota Makkah tanpa bersama keluarga tercinta. Ada juga umat Islam yang dirampas harta dan akhirnya terpaksa keluar dari kota Makkah tanpa sebarang harta. Namun, halangan itu sama sekali tidak melunturkan semangat penghijrahan.

Kita tahu bahawa semuanya telah direncanakan dengan begitu teliti oleh baginda Nabi SAW bersama sahabat. Bermula daripada pemilihan kenderaan dan tempat persinggahan, sehinggalah kepada bantuan individu yang berkepakaran sebagai penunjuk jalan. Malah, Nabi SAW juga membuat persediaan lebih awal sebelum itu melalui pembinaan jaringan perhubungan yang baik dengan penduduk Madinah yang datang ke Makkah, melalui perjanjian 'Aqabah dan juga pengutusan Mus'ab bin Umair ke Yathrib.

Ketika perjalanan hijrah dimulakan, kita begitu kagum apabila sepupu baginda Nabi SAW iaitu Ali bin Abi Talib sanggup untuk menggantikan tempat peniduran Nabi SAW sewaktu baginda keluar bersama Abu Bakar pada waktu malam. Keberanian yang sama turut ditunjukkan oleh Asma' binti Abu Bakar yang bertungkus-lumus menyediakan bekalan makanan dan membawanya ke Gua Thur supaya baginda Nabi SAW dan ayahandanya Abu Bakar Al-Siddiq tidak kelaparan di tempat persembunyian mereka.

Semua ini semangat, keberanian dan pengorbanan besar yang dilakukan Nabi SAW dan sahabat bagi menjayakan peristiwa hijrah dari Makkah ke Madinah. Bagaimanapun, bukan hanya sekadar ini yang boleh dipelajari. Umat Islam juga harus sedar bahawa semua ini tidak dapat berlaku tanpa adanya faktor motivasi atau dorongan yang cukup kukuh.

Umat Islam pada ketika itu benar-benar ingin melihat diri dan maruah mereka terbela. Keperitan siksaan yang dikenakan terhadap umat Islam ketika di Makkah membuatkan mereka begitu tekad untuk menyelamatkan diri tanpa perlu meninggalkan agama Islam. Kecintaan kepada agama Islam membuatkan mereka juga benar-benar ingin melihat Islam terus berkembang dan kuat sehingga tidak lagi dapat diperkotak-katikkan. Kesedaran dan keyakinan kepada Allah dan janji-janji-Nya juga begitu kukuh terpahat di dalam jiwa masing-masing. Inilah sumber motivasi muhajirin pada ketika itu. Ia ditanam dari awal permulaan baginda Nabi SAW berdakwah kepada penduduk Makkah.

Umat Islam pada hari ini tidak dapat melihat wajah Nabi SAW walaupun mempunyai mata. Kita juga tidak dapat mendengar bait-bait kata semangat daripada baginda, biarpun kita mempunyai telinga. Hal ini kerana kita hidup di zaman yang terlalu jauh dari zaman Nabi SAW. Ketiadaan ini mungkin membuatkan kita kehilangan separuh kekuatan jiwa. Apatah lagi berada di akhir zaman ini, pelbagai ujian dan peringatan yang diturunkan oleh Allah kepada kita membuatkan terfikir alangkah indahnya jika Nabi SAW masih bersama. Pasti baginda dapat menunjukkan jalan kebenaran dalam pelbagai masalah dunia hari ini. Memimpin dunia dengan penuh kewibawaan seterusnya sentiasa dapat memberikan motivasi melalui janji-janji Allah SWT.

Namun, umat Islam tidak seharusnya begitu lemah. Baginda Nabi meninggalkan al-Quran dan al-Hadis sebagai surat cintanya kepada kita semua.

Hari ini bumi Malaysia diuji dengan pandemik Covid-19. Khabar kematian ahli keluarga, sahabat dan rakan-rakan yang silih berganti seharusnya cukup untuk menginsafkan diri kita. Berbekalkan surat-surat cinta yang ditinggalkan oleh baginda Nabi SAW, ujian ini boleh menjadi sumber motivasi terkukuh untuk kita. Jika sebelum ini kita ingin berhijrah, namun sering tersungkur, inilah masanya untuk kita bangkit kembali meneruskan semangat penghijrahan tanpa menoleh ke belakang lagi. Melihat semula ke dalam diri berkaitan apakah yang masih perlu dilakukan sebagai bekalan untuk berpindah ke suatu alam yang kekal abadi.

Kisah penghijrahan baginda Nabi SAW bersama sahabat perlu diteladani, baik yang tersurat dan yang tersirat. Berbekalkan al-Quran dan sunah, kita perlu merancang strategi penghijrahan yang teliti dari segala segi. Jika Nabi SAW dan sahabat tidak pernah berputus asa untuk menjayakan hijrah, kita juga seharusnya tidak boleh berputus asa apabila diuji dengan sedikit kesengsaraan.

Perbaikilah pemikiran dan perkukuhkanlah keyakinan kita kepada janji-janji Allah SWT. Tidak sedikit khabar gembira yang Allah berikan di dalam surat cinta-Nya untuk kita yang tidak pernah berputus asa mendekatkan diri kepada-Nya. Oleh itu, bersiaplah sebaiknya dengan melakukan sebanyak mungkin amalan yang dapat membantu kita di negeri abadi akhirat. Bukalah semula tulisan asatizah yang sekian lama memberikan rujukan terbaik kepada kita dan bermujahadahlah dalam memperbaiki diri.

Jangan dilupa, kita juga perlu menjaga hubungan sesama manusia. Jika Nabi SAW berdamai dan bersahabat baik dengan penduduk Madinah dalam persediaan mencapai kejayaan hijrah dan berlapang dada dan bertolak ansur di dalam Perjanjian Hudaibiyah bersama penduduk Makkah, kita juga harus melatih diri untuk sentiasa berdamai dengan sesama manusia. Pujuk jiwa untuk sentiasa memaafkan, berkasih sayang dan saling membantu kerana Allah SWT. Tinggalkan hasad dengki, sangkaan buruk, dan permusuhan duniawi yang hanya sia-sia.

Ingatlah bahawa janji Allah itu benar. Firman-Nya di dalam surah Fussilat ayat 30: "Sesungguhnya orang-orang yang berkata "Tuhan kami adalah Allah", kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), "Janganlah kamu bersedih hati; dan bergembiralah kamu (memperoleh) syurga yang telah dijanjikan kepadamu."

Bersamalah kita realisasikan intipati Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti.

Penulis adalah Pensyarah Kanan di Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Disiarkan pada: October 19, 2021 @ 8:35am
d