rencana

Manis biar hanya di bibir!

Oleh Dr Mohd Zaidi Md Zabri

Malaysia mempunyai obsesi yang luar biasa terhadap penciptaan rekod – sama ada yang terpanjang, terbesar mahupun tertinggi. Namun, suatu rekod yang sangat pahit untuk ditelan ialah Malaysia mempunyai rekod kadar obesiti dan berat badan berlebihan tertinggi dalam kalangan negara Asia.

Salah satu daripada natijahnya ialah menurut Kaji Selidik Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, seorang daripada lima rakyat atau 20 peratus daripada warga Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas menghidap diabetes jenis dua (T2DM).

Bahkan prevalen ini dijangka meningkat kepada 31.3 peratus menjelang 2025. Dalam erti kata lain, dalam masa kurang dari lima tahun lagi, seorang daripada tiga dewasa Malaysia bakal menghidap diabetes jenis dua.

Apa itu diabetes? Diabetes adalah keadaan apabila paras gula atau glukosa dalam darah lebih tinggi daripada paras normal yang berpunca daripada kekurangan hormon insulin dalam badan atau peningkatan rintangan badan terhadap insulin.

Secara umumnya, diabetes terbahagi kepada dua jenis. Diabetes jenis satu berlaku apabila pankreas tidak berupaya menghasilkan insulin kerana sel-sel yang menghasilkan insulin sudah dirosakkan oleh sistem imun tubuh sendiri dan ini biasanya memerlukan rawatan suntikan insulin.

Manakala, diabetes jenis dua pula merujuk kepada insulin tidak sensitif yang sedia ada dalam badan pesakit dan biasanya berlaku kepada mereka yang mempunyai sejarah diabetes dalam keluarga. Bagaimanapun, diabetes jenis dua boleh dirawat dengan ubat-ubatan dalam bentuk pil ataupun gabungan bersama rawatan insulin.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), 90 peratus pesakit diabetes di segenap dunia menghidap diabetes jenis dua.

Umum mengetahui impak diabetes terhadap tahap kesihatan seseorang penghidapnya. Namun, aspek yang agak jarang diwacanakan ialah kos kewangan yang perlu ditanggung berkaitan penjagaan kesihatan bagi pesakit diabetes di Malaysia.

Pada 2010, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membelanjakan hampir RM2 bilion berkaitan pengurusan penyakit diabetes di negara ini. Manakala, pada 2019, KKM menyatakan bahawa jumlahnya mencecah RM3.2 bilion.

Dalam tempoh kurang dari sedekad, beban kewangan pengurusan berkaitan diabetes di negara ini meningkat hampir 70 peratus. Malah, beban pengurusan kewangan ini pada 2019 sahaja melebihi 10 peratus daripada peruntukan tahunan KKM.

Tanggungan kewangan berkaitan diabetes boleh dikategorikan kepada kos langsung dan kos tidak langsung. Sebagai contoh, penjagaan pesakit diabetes jenis dua membabitkan kos langsung seperti penggunaan sumber kesihatan seperti ubat-ubatan, khidmat pesakit dalam dan luar wad. Manakala, kos tidak langsung pula membabitkan kehilangan monetari (berkaitan dengan wang) yang disebabkan ketidakupayaan dan kematian, perbelanjaan pergi-balik ke hospital, kos penjagaan gizi dan nutrisi dan kehilangan produktiviti dan pendapatan.

Menurut kajian bersama yang dijalankan KKM dan WHO yang bertajuk Penyakit Tidak Berjangkit dan Faktor Risikonya Terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia, kos kehilangan produktiviti yang berpunca daripada kematian berkaitan diabetes dianggarkan mencecah RM1 bilion.

Selain itu, diabetes adalah penyumbang terbesar kepada ketidakhadiran atau absenteeism sebanyak 7.9 juta hari bekerja. Kehilangan monetari berpunca daripada ketidakhadiran ini bersamaan dengan RM1.35 bilion.

Malah, laporan yang sama juga menyorot suatu lagi fenomena yang begitu jarang disingkapi iaitu presenteeism iaitu kehilangan produktiviti yang berlaku apabila seorang pekerja yang tidak bekerja pada keupayaan penuh disebabkan diabetes.

KKM dan WHO menganggarkan presenteeism yang disebabkan diabetes mengakibatkan kehilangan produktiviti bernilai RM4.3 bilion.

Selain kehilangan produktiviti, diabetes juga meletakkan beban kesihatan yang serius kepada negara akibat hilang upaya dan kehilangan tahun hidup sihat atau beban kos penyakit dianggarkan sekitar RM5.7 bilion.

Sebagai perbandingan, beban kos penyakit diabetes ini jauh lebih tinggi berbanding penyakit kardiovaskular atau berkaitan jantung dan saluran darah (RM2.9 bilion) dan kanser (RM357 juta).

Nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ketika penerbitan laporan di atas (2017) ialah RM1.4 bilion dan beban kos penyakit ini bersamaan dengan 0.4 peratus daripada KDNK negara.

Untuk konteks, beban kos penyakit sebanyak RM5.7 bilion ini juga empat kali ganda besar daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan bagi KKM bagi 2017 (RM1.3 bilion).

Menurut wakil WHO Malaysia, Dr Lo Ying-Ru Jacqueline, "Setiap kehilangan upaya dan kematian pramatang dari penyakit tidak berjangkit (termasuk diabetes) ialah suatu tragedi kerana kita memaklumi ia boleh dielakkan."

Justeru, beban kewangan berkaitan diabetes sama ada secara langsung dan tidak langsung kepada negara seharusnya menyedarkan betapa kita memerlukan penggemblengan keseluruhan ketumbukan jentera penyampaian kerajaan, pertubuhan swadaya (NGO) dan pemegang taruh terpenting iaitu masyarakat terbanyak demi menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia.

Kerajaan Malaysia pun menyahut cabaran ini melalui peluncuran Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit 2016-2025 serta strategi dan rancangan negara yang berkaitan demi mengurangkan faktor risiko berkaitan penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes.

Malah, demi memastikan kelestarian masa depan negara, kita sebagai rakyat Malaysia juga perlu membuat perubahan swasadar melalui gaya hidup yang lebih sihat demi mengurangkan beban kewangan berkaitan penyakit diabetes.

Sebagai ilustrasi, pembinaan Hospital Pasir Gudang yang dijangka siap menjelang 2024 bakal menelan belanja RM375 juta. Sekiranya penggemblengan tenaga kita berjaya mencapai pengurangan kos pengurusan penyakit diabetes sebanyak 12 peratus (RM384 juta), kita sebenarnya sudah pun mampu membina sebuah lagi hospital yang baharu di negara ini.

Menarik rekod kita yang ini, bukan?

Penulis pensyarah kanan di Jabatan Kewangan, Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Malaya (UM)

Disiarkan pada: November 16, 2021 @ 6:15am
d