rencana

Rai perbezaan hidup bermasyarakat

Oleh Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

Toleransi adalah antara akhlak terpuji Rasulullah SAW. Dalam Kamus Dewan Edisi Ketiga (2002), istilah toleransi atau sikap toleran dalam bahasa Melayu merujuk kepada sedia menghormati atau menerima pendapat orang lain yang berbeza daripada pendirian sendiri. Toleransi sangat dituntut dalam agama. Bahkan, Islam sangat membuka ruang untuk bertoleransi dalam semua perkara kecuali yang berkaitan ketuhanan.

Bermakna Islam menganjurkan sifat toleransi dalam perkara yang dibenarkan sahaja iaitu apabila tidak melanggar syariat Allah.

Toleransi adalah sifat terpuji yang menjadi neraca kepada ketinggian martabat agama Islam pada kaca mata masyarakat umum. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Agama paling dicintai Allah adalah agama yang lurus dan toleran." (Hadis Riwayat Bukhari)

Jelas daripada hadis ini Allah SWT menegaskan sifat toleran menjadi asas dan pengukur kepada nilai agama di sisi-Nya. Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Allah merahmati orang yang memudahkan ketika menjual dan ketika membeli serta ketika memutuskan perkara." (Hadis Riwayat Bukhari)

Bersikap toleransi dalam beragama adalah antara perspektif yang paling menjadi tumpuan apabila membincangkan mengenai toleransi walaupun konteks sebenarnya adalah lebih luas dan terbuka. Malah, ia merangkumi setiap aspek kehidupan manusia. Dalam konteks toleransi beragama, Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Katakanlah (wahai Muhammad): "Hai orang kafir! Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun ayat 1-6)

Dalam konteks kehidupan manusia secara umumnya pula, terdapat pelbagai jenis toleransi yang boleh diamalkan. Banyak ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang merujuk kepada tuntutan agar bertoleransi. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan (ingatlah) tiadalah Kami mencipta langit dan bumi serta segala yang ada di antara kedua-duanya itu melainkan dengan cara yang sungguh layak dan berhikmah; dan sesungguhnya Hari Kiamat itu tetap akan datang; oleh itu biarkanlah (golongan kafir yang mendustakanmu itu wahai Muhammad) serta layanlah mereka dengan cara yang elok." (Surah al-Hijr ayat 85)

Rasulullah SAW meninggalkan kepada kita sunah yang banyak dalam perkara berkaitan sifat toleransi baginda. Antara yang paling besar ialah Piagam Madinah yang boleh dianggap sebagai kontrak sosial bagi masyarakat kota Madinah yang bersifat majmuk. Fasal 25 Perlembagaan Madinah mengandungi prinsip toleransi beragama iaitu orang bukan Islam diberikan kebebasan mengamalkan agama mereka. Berkait dengan kebebasan beragama itu, Perlembagaan Madinah menyatakan setiap agama berhak mengurus hal ehwal agama sendiri. Dalam konteks negara kita, Perlembagaan Persekutuan menyediakan peruntukan mengenai kebebasan beragama kepada semua penganut agama. Ini bermakna perlembagaan kita dengan jelas memiliki prinsip toleransi dan keadilan sosial dalam hal berkait kebebasan beragama.

Ini terkandung dalam Perkara 11 yang tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya.

Sifat toleransi juga dikaitkan dengan sifat tasamuh (memaafkan) dan menahan kemarahan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa; Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang yang berbuat perkara yang baik." (Surah Ali Imran ayat 133-134)

Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sifat toleransi juga berkaitan dengan sifat memaafkan dan menahan kemarahan. Bahkan, baginda menyatakan bahawa ia satu daripada ciri agama yang dicintai oleh Allah SWT. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Ditanyakan kepada Rasulullah SAW: "Agama manakah yang paling dicintai oleh Allah? Maka beliau bersabda: 'Al-Hanifiyyah Al-Samhah (yang lurus lagi toleran)." (Hadis Riwayat Bukhari)

Tuntutan bertoleransi lahir apabila wujudnya perbezaan. Berbeza pandangan dan pendirian dalam perkara tertentu adalah sifat normal bagi manusia. Apabila wujudnya perbezaan, hendaklah bertoleransi dan berlaku adil. Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil." (Surah al-Mumtahanah ayat 8)

Fenomena yang berlaku mutakhir ini agak membimbangkan apabila ada segelintir individu menunjukkan sikap tidak menghormati perbezaan yang wujud antara anggota masyarakat kita.

Walaupun kita diberikan kebebasan untuk menyuarakan pandangan serta berbeza kepercayaan dan pemikiran, namun kita masih terikat dengan had yang tidak melanggar syariat. Sekiranya berlaku perbezaan dalam perkara yang melibatkan ketuhanan, maka tiada kompromi dibenarkan.

Tegasnya, kebebasan bersuara dan toleransi yang digalakkan serta dibenarkan adalah dalam perkara yang melibatkan kehidupan umum secara personal dan bermasyarakat. Adapun dalam perkara membabitkan ketuhanan ia tidak dibenarkan dan tertakluk kepada hukum-hakam yang tiada kompromi dalam agama. Sebagaimana firman Allah SAW yang bermaksud: "Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun ayat 6)

Penulis Penyelaras Program Khas Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Disiarkan pada: July 1, 2022 @ 6:15am
d