rencana

Seni penyelesaian masalah

Oleh DSP Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Pada penulisan ini, penulis ingin mengetengahkan sebuah realiti perjalanan hidup. Perlu diakui kehidupan kita semua tidak sama daripada segi onak duri dan liku-liku perjalanannya.

Perjalanan kehidupan tidak sentiasa manis dan bakal ada liku, onak dan duri serta bentuk permasalahan yang akan timbul. Setiap individu diuji dengan masalah berbeza dan jalan penyelesaiannya, hanya dirinya yang mengetahui.

Ada ketikanya kebuntuan yang amat sangat dalam menghadapi sebuah atau pelbagai masalah mendatang membuatkan jiwa menjadi tidak tenteram atau kacau-bilau sehinggalah masalah itu sangat membebankan jiwa. Ini membuatkan seseorang yang tidak dapat keluar daripadanya menjalani hidup dengan penuh penderitaan dan sengsara sehinggakan ada sangup membunuh diri.

Namun, kehidupan perlu diteruskan sama ada kita suka atau tidak dengan kebolehan mengelak daripada terjerumus dalam pelbagai masalah, tetapi tidak semua orang dapat menyelesaikan atau melakukannya. Setiap tingkah laku atau perbuatan kita direncanakan Allah SWT, sama ada kita berupaya membawa sebuah kehidupan yang lebih baik adalah satu kelebihan.

Kita mungkin biasa dengar istilah 'begitulah kehidupan'. Apabila kita tersilap dalam membentuk sebuah kehidupan yang baik dengan cara atau jalan hidup terbaik, ibarat memandu kereta akan terbabit juga dalam kemalangan. Jika kita dapat mengimbangi kehidupan dengan berada di lorong betul, insya-Allah, kita selamat dan jika tersesat tidaklah jauh serta masih sempat kembali ke pangkal jalan.

Begitulah kehidupan. Mungkin orang akan mengatakan sudah direncanakan atau nasib kita untuk menjadi susah atau tidak kaya dan sebagainya. Mungkin ada orang mengatakan kita sudah berada di lorong yang betul dengan mengelak terjerumus dalam pelbagai masalah, tapi ada kala kita akan terjebak juga atau terpalit dengan keadaan sekeliling dalam istilah lain iaitu 'wrong time and wrong place'.

Kita sebagai insan kerdil dalam perjalanan kehidupan perlulah menerimanya dengan hati terbuka. Sekiranya apa yang kita rancang tidak menjadi dan jauh tersasar daripada apa yang diinginkan, kita perlu mensyukuri apa yang Allah beri kepada kita dan berdoa sentiasa ke arah kebaikan dalam perjalanan kita. Selebihnya kuasa Allah dan kita tidak tahu ujian yang akan diberikan kepada kita sama ada ia berbentuk kesedihan atau keperitan hidup.

Sebagai hamba-Nya, kita perlu bersyukur dengan apa yang dikurniakan oleh-Nya dengan bersabar dan berdoa ke arah kebaikan demi meneruskan kehidupan. Setiap yang direncanakan Allah sama ada perara baik atau buruk ada hikmah tersembunyi yang kita tidak mengetahuinya.

Sebagai manusia, jika bermasalah yang amat sangat berdoalah kepada-Nya dan cari jalan penyelesaian yang terbaik untuk menghurai kekusutan yang melanda. Begitulah kehidupan, ia perlu diteruskan. Jika nanti sudah dapat diselesaikan bentuk masalah yang membelenggu jiwa kita, akan timbul masalah lain pula yang mungkin akan lebih memeritkan lagi dan satu demi satu terpaksa kita tangani. Kita mestilah tabah dalam menghadapinya. Bentuk masalah dihadapi setiap individu ternyata jauh berbeza sama sekali. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa atas apa yang kita lalui dan hadapi kerana mungkin masalah itu berpunca daripada kita sendiri atau disebabkan orang lain. Berikut beberapa tip atau strategi untuk menyelesaikan masalah, namun seperti yang penulis katakan pada awal penulisan, setiap masalah dihadapi seseorang itu berbeza dan hanya diri sendiri berupaya menyelesaikannya. Penyelesaian masalah adalah satu seni kerana tiada satu pendekatan yang terbaik dan universal dalam menyelesaikan masalah.

Berikut adalah tip berkenaan:

  • Kenal pasti masalah. Perkara pertama perlu dilakukan dalam menyelesaikan masalah ialah dengan mengenal pasti punca atau permulaan berlakunya permasalahan itu. Ia tahap kritikal dalam penyelesaian masalah dan mengambil masa serta pergolakan jiwa akan berlaku dan banyak persoalan nanti yang bakal disenaraikan. Ia termasuk apakah permasalahannya? Adakah ia masalah saya? Adakah ia masalah sebenar atau simptom untuk masalah lebih besar?

    Sekiranya ia masalah lama, di manakah kesilapan atau kelemahan pada penyelesaian sebelum ini? Persoalan lain termasuk, adakah ia memerlukan penyelesaian segera atau ia boleh tunggu? Adakah ia boleh selesai dengan sendiri?

    Adakah berisiko sekiranya saya mengabaikannya? Apakah syarat yang perlu dipenuhi dalam menyelesaikan masalah? Adakah penyelesaian itu akan memberi kesan ke atas sesuatu yang perlu dikekalkan?

  • Menganalisis sebab permasalahan. Sebaik sahaja masalah dikenal pasti, seterusnya perlu menganalisis penyebabnya. Pertimbangkan persoalan seperti ini: Apakah sebab atau punca kepada permasalahan itu?
  • Membuat penyelesaian alternatif. Lihat kepada masalah dalam perspektif berbeza dan cuba dapatkan perspektif baru yang anda tidak pernah fikirkan. Sebaik sahaja semua penyelesaian alternatif disenaraikan, perlu ada sikap terbuka kepada setiap kemungkinan. Berikan tumpuan kepada maklumat tambahan, penyelesaian baharu, boleh digabung atau dibuang, akan bertemu sesuatu yang berlawanan dan kelihatan seperti memberi harapan atau mengujakan.
  • Melaksanakan penyelesaian terbaik. Jelas, penyelesaian pertama yang difikirkan tidak semestinya penyelesaian terbaik walaupun ia diterima semua orang. Pertimbangkan beberapa persoalan lain seperti adakah kelebihan dan kekurangan setiap penyelesaian dikenal pasti? Adakah setiap penyelesaian dikaji berdasarkan kesan ia akan memberikan kepada keseluruhan organisasi, bukan hanya sebuah kumpulan atau jabatan?

    Selain itu, adakah maklumat diperlukan boleh didapati dalam membuat keputusan memilih penyelesaian alternatif terbaik?

  • Menilai semula kesan penyelesaian yang dibuat. Kita tidak seharusnya anggap hanya melalui langkah yang sebelumnya tindakan dilaksanakan akan menyelesaikan masalah.

    Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah Seri Alam, Johor

  • Disiarkan pada: December 8, 2022 @ 7:27am
    d