rencana

Kenangan kasut lusuh dan SMK St Thomas

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah

Baru-baru ini, penulis dan seorang rakan berkunjung ke Kuantan. Tujuan kami adalah untuk melihat sekolah menengah lama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Thomas di Jalan Gambut. Ini kerana kami sama-sama pernah bersekolah di situ pada akhir 90-an.

Jika dibandingkan dengan sekolah lain, SMK St Thomas bukanlah sekolah nombor satu di Kuantan. Namun, ia agak popular kerana mungkin antara sekolah terawal di pantai timur. Ia juga mempunyai sejarah panjang sejak 1950 lagi, jadi status dan reputasinya pernah menjadikannya sebagai sekolah pilihan untuk anak raja.

Tapak sekolah adalah milik pengurusan pihak Gereja St Thomas yang terletak bersebelahan. Sejak tingkatan satu, ramai yang sudah bercerita bahawa pada satu hari nanti, pihak gereja akan mengambil semula tanah tapak sekolah ini.

Seingat penulis, ada satu pintu masuk ke kawasan gereja bersebelahan bangsal sekolah. Jika tidak silap, pernah juga seorang guru yang mungkin biarawati mengajar di sekolah ini.

Biarpun sekolah ini asalnya sekolah mubaligh Kristian, tidak ada sebarang lambang agama itu diguna pakai sama ada pada lencana, lagu sekolah atau pada struktur di dalam sekolah ini. Unsur Kristian ini pernah ada, tetapi ia sudah lama diubah suai sejajar dengan peredaran zaman.

Kawasan sekolah ini pun sebenarnya tidaklah begitu besar. Ada tiga blok utama, manakala padang sekolah juga dikongsi bersama dengan Sekolah Kebangsaan (SK) St Thomas.

Empat tahun di sini memberikan segala macam kenangan. Perlu diingat generasi zaman itu lambat matang berbanding pelajar sekolah menengah hari ini. Apatah lagi, pelajar sekolah ini semuanya lelaki, jadi mereka kurang malu jika berperangai tidak senonoh.

Ketika di tingkatan satu, penulis bersahabat baik dengan Masrul. Dengan menaiki basikal Masrul, kami menjelajah ke seluruh Kuantan, dari pusat bandar sehingga ke Tanah Putih. Jika diingatkan semula, kuat juga Masrul mengayuh basikal dan membawa penulis sehingga ke Taman Gelora semata-mata untuk mandi di kolam renang awam.

Jika tidak silap kami hanya perlu membayar RM1 atau RM2 untuk berenang di sini. Maka, berenanglah kami sehingga ke petang sehingga kulit bertukar menjadi hitam.

Seorang lagi rakan baik sehingga kini adalah Fitri. Jasanya yang sehingga kini penulis kenang apabila mendermakan kasut sekolah kepada rakan termasuk penulis apabila melihat kasut kami sudah lusuh. Seorang lagi bernama Munira. Namanya melekat di ingatan penulis sehingga ke hari ini kerana seperti nama perempuan.

Seorang lagi pelajar Melayu yang penulis ingat adalah Kamarul. Hari ini, dia sudah bergelar guru. Rezekinya apabila sempat bertemu seorang guru kelas kami, Cikgu Rahim. Guru ini pernah mengajak kami berkelah di Taman Gelora sebagai meraikan tamatnya sesi persekolahan tingkatan 2. Namun, guru itu sudah meninggal dunia beberapa tahun lalu.

Zaman ini jauh berbeza dengan masa kini. Kami tidak berani mengadu jika menerima hukuman. Namanya pun sekolah lelaki, jadi pelajarnya amat nakal. Jadi, guru akan menggunting rambut pelajar dengan sesuka hati jika mendapati mereka berambut panjang.

Tidak cukup dengan hukuman serta-merta selepas pemeriksaan mengejut setiap kali perhimpunan mingguan pada Isnin, kami juga berdebar apabila mengikuti kelas Pendidikan Islam. Perasaan teruja kerana dapat bertemu rakan dari kelas lain boleh bertukar menjadi gundah-gulana apabila mengenangkan ustazah yang agak garang.

Pada zaman ini juga, adalah biasa apabila guru menggunakan pembaris atau rotan untuk mendisiplinkan murid. Ia juga dibawa ke kelas ketika mengajar. Namun jika nasib malang mungkin tapak tangan yang 'singgah' di muka pelajar.

Di sebalik kisah ini, pengalaman di sekolah ini juga mengajar penulis untuk lebih berdikari. Tambahan pula, penulis pernah menjadi satu-satunya pelajar Melayu di dalam kelas Sains. Pelajar Cina pula kebanyakan masa akan berbahasa ibunda, jadi satu-satunya rakan penulis ketika di kelas ini adalah pelajar Cina yang tidak tahu bertutur dan menulis dalam bahasa Cina.

Ada juga guru yang akan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya apabila mengajar terutama dalam subjek aliran Sains. Ia tanpa mengira sama ada kami faham atau tidak. Perlu diingat, ini dilaksanakan hampir 30 tahun lalu, lama sebelum pengenalan pembelajaran dua bahasa yang diamalkan hari ini.

Itu semua kisah hampir 30 tahun lalu. Hari ini, tiada lagi SMK St Thomas di Jalan Gambut, Kuantan. Bangunan sekolah ini termasuk dengan SK St Thomas kini adalah sekolah antarabangsa. Ia selepas pertikaian yang kompleks antara kerajaan negeri dan pengurusan Gereja St Thomas.

Apabila kerajaan negeri menggugurkan kes dan tidak meneruskan usaha pemerolehan tanah, sekolah rendah dan menengah perlu dipindahkan. SMK St Thomas kini menumpang di SMK Sultan Abu Bakar, manakala SK St Thomas pula menumpang di SK Teruntum. Apabila ia dipindahkan ke lokasi baharu, nama sekolah ini akan ditukar sekali gus sejarahnya akan 'terpadam'.

Penulis bukanlah orang yang suka 'berpegang' pada kenangan. Namun, adakalanya kita perlu merenung zaman silam untuk mensyukuri kehidupan kita hari ini. Benar kata orang lama, tempat jatuh lagi dikenang, inikah pula tempat kita bermain.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Disiarkan pada: June 3, 2023 @ 6:15am
d