santai

Rehat minda bersama alam

Oleh Muhamaad Razis Ismail

SUDAH menjadi trend, setiap kali tiba hujung minggu banyak lokasi hijau menjadi tumpuan orang ramai untuk meluangkan masa bersama rakan dan keluarga.

Selain mengeratkan hubungan kekeluargaan, pengunjung dapat melakukan pelbagai aktiviti riadah untuk meredakan tekanan daripada hiruk-pikuk kota.

Bagi yang inginkan kelainan bagi memenuhi masa terluang sambil menikmati keindahan alam semula jadi, Taman Botani Bangi, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (TBB FST-UKM), Bangi, Selangor boleh dijadikan sebagai pilihan.

Sesuai dengan aktiviti ekopelancongan ilmu, warga kota tidak perlu memandu jauh untuk menikmati keindahan alam semula jadi sambil mempelajari pelbagai ilmu berkenaan flora dan fauna di taman botani ini.

TBB FST-UKM terletak dalam lingkungan hadapan bangunan Sains Biologi, FST sehingga ke sempadan Institut Alam Sekitar Malaysia (EiMAS) dan meliputi kawasan Hutan Simpan Kekal UKM, Kampus Induk UKM Bangi yang berkeluasan 119.38 hektar.

Pada 1 Jun lalu, TBB FST-UKM yang ditubuhkan pada Ogos 2020 dilancarkan Pengerusi Lembaga Pengurusan Universiti, Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamad Abd Razak.

Meskipun taman ini dilancarkan pada tarikh berkenaan, namun kewujudan komponen di dalamnya iaitu Taman Paku Pakis UKM (1990), Taman Herba UKM (2010), Hutan Simpan Kekal UKM (1970-an) dan Kompleks Rumah Tumbuhan UKM (1970-an) bermula awal daripada itu.

Penulis turut berpeluang menyertai Program Jelajah Alam Taman Paku-Pakis, Taman Herba dan Hutan Simpan Kekal UKM selama 40 minit yang dianjurkan sempena majlis pelancaran Taman Botani Bangi, baru-baru ini.

Antara yang menarik adalah, penulis dapat melihat sebahagian daripada 200 spesies pokok paku pakis termasuk Huperzia dalhousiana dan Blechnum fraseri, pokok herba, pokok meranti dan rengas berusia lebih 100 tahun.

Ketua Taman Botani Bangi, Profesor Madya Dr Noraini Talip berkata, taman botani ini diwujudkan di persekitaran kampus untuk mendokong penyelidikan, pembelajaran dan pendidikan alam sekitar serta menjadi pusat rujukan kepelbagaian biologi flora dan fauna di negara kita.

"Ia diwujudkan untuk pengumpulan, penanaman, pemeliharaan dan paparan pelbagai jenis tumbuhan yang biasanya dilabelkan dengan nama botani.

"Taman ini mempunyai koleksi tumbuhan hidup yang didokumentasikan untuk penyimpanan bank gen tumbuhan, penyelidikan saintifik, pemuliharaan ex-situ dan in-situ, paparan kepada orang ramai, pendidikan dan pembelajaran," katanya.

Menurutnya, antara objektif utama penubuhan TBB FST-UKM ini adalah untuk menjadi pusat pemuliharaan dan pemeliharaan kumpulan tumbuhan terpilih.

"Ia juga sesuai menjadi pusat pendidikan ekopelancongan ilmu dan makmal semula jadi untuk mendokong penyelidikan berkaitan kepelbagaian biologi.

"Selain itu, taman botani ini menjadi pusat nurseri pembiakan dan penjualan tumbuhan, pusat rujukan dan perkhidmatan kepakaran berkaitan flora dan fauna dan pusat rekreasi bagi warga serta bukan warga UKM," katanya.

Beliau berkata, taman berkenaan mempunyai misi untuk menjadi taman botani yang tersohor di Asia Tenggara dalam memacu pendidikan, penyelidikan dan pemuliharaan kepelbagaian biologi flora serta fauna.

"Ia bergerak bersama visi bagi merancang dan melaksanakan usaha pendidikan alam sekitar, khidmat kepakaran dan kemasyarakatan, pemeliharaan dan pemuliharaan ke arah kelestarian kepelbagaian biologi di Malaysia," katanya.

Jelasnya, sejajar dengan keperluan menjaga alam sekitar dan ekosistem serta organisme yang bersimbiosis dengannya, TBB FST-UKM memainkan peranan utama dalam memulihara tumbuhan terancam serta memelihara habitat yang terancam.

"Antaranya termasuk mendidik masyarakat melalui modul ekopelancongan ilmu yang disediakan bagi pelbagai lapisan masyarakat mengikut kesesuaian tahap pemikiran dan pendidikan daripada kanak-kanak prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, institusi pengajian tinggi serta masyarakat umum.

"Taman ini terbuka kepada lawatan orang ramai melalui Pengurusan Taman Botani Bangi," katanya.

Disiarkan pada: June 30, 2022 @ 7:00am
d