sihat

Bongkar penemuan menakutkan

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

BANYAK negara di Asia termasuk Malaysia tidak melakukan bedah siasat terhadap mayat pesakit Covid-19 yang meninggal dunia akibat jangkitan virus berkenaan.

Ini disebabkan kekangan prinsip agama, budaya dan menghormati perasaan keluarga mangsa.

Sebaliknya, berbeza di negara Barat yang kebanyakannya menjalankan proses terbabit, antaranya Jerman.

Pegawai Perubatan Columbia Asia Hospital, Dr S Malar Santhi berkata, di Jerman terdapat satu peruntukan undang-undang untuk prosedur bedah siasat iaitu Seksyen 25 (4), Akta Perlindungan Jangkitan Jerman atau Akta Perlindungan Penyakit Berjangkit Jerman.

Menurutnya, akta ini mewajibkan bedah siasat dilakukan terhadap individu yang meninggal dunia akibat penyakit berjangkit supaya penambahbaikan perkhidmatan kesihatan dapat diberikan kepada penduduk Jerman.

"Oleh itu, individu yang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 tidak terkecuali melalui prosedur berkenaan.

"Walaupun data ini disimpan hanya untuk penggunaan perubatan klinikal, tetapi daripada kelulusan masyarakat yang beretika, maka data itu boleh dikumpulkan.

"Ia supaya bidang perubatan dapat ditambah baik melalui apa dipelajari daripada prosedur bedah siasat itu," katanya yang berkongsi secara maya hasil kajian klinikal bedah siasat ke atas mayat pesakit Covid-19 di Jerman.

Perkongsian ini turut membongkar penemuan menakutkan hasil bedah siasat ke atas 12 mayat pesakit Covid-19 negara terbabit.

Beliau berkata, prosedur bedah siasat ini dilakukan oleh sekumpulan pakar perubatan di Jabatan Undang-Undang Pusat Perubatan Universiti Hamburg-Eppendorf Jerman.

"Semua pesakit disahkan positif Covid-19 sebelum meninggal dunia melalui ujian RT-PCR SARS-CoV-2, sama ada di hidung, mulut, tekak atau cecair badan yang lain seperti kahak daripada paru-paru dan sebagainya.

"Semua mayat pesakit Covid-19 ini berusia antara 53 hingga 87 tahun dengan 75 peratus daripada mereka adalah lelaki dan selebihnya wanita," katanya.

Dr S Malar berkata, berdasarkan hasil ujian bedah siasat mendapati dua daripada 12 pesakit meninggal dunia di luar hospital selepas bantuan pernafasan kecemasan (CPR) gagal dan ketika menerima rawatan di wad biasa hospital, masing-masing lima orang.

"Semua 12 pesakit ini mempunyai penyakit komorbid seperti penyakit jantung, asma, kencing manis, obesiti dan lain-lain.

"Sepuluh daripada 12 mayat ini melalui satu prosedur khas bedah siasat iaitu ujian imbasan tomografi berkomputer (imbasan CT) yang menyeluruh ke atas tubuh selepas meninggal dunia.

"Prosedur khas ini menggunakan teknologi pengimbas 'Multi Detector Philips Brillion 60 Slice'. Ujian imbasan CT itu dilakukan di kepala hingga ke separuh paha dengan perincian satu milimeter (mm).

"Ia membolehkan setiap satu mm sel dapat dikesan, diimbas dan dikaji untuk melihat sebarang perubahan yang terjadi selepas dijangkiti virus Covid-19,"katanya.

Selain itu, katanya, mayat turut melalui proses yang tisu daripada organ penting seperti jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, limpa, pankreas, otak diambil dan dihantar ke makmal untuk ujian histopatologi.

"Ia bertujuan membolehkan pakar melihat sebarang perubahan dan bentuk tisu organ di bawah mikroskop.

"Prosedur seterusnya ialah ujian virologi iaitu mengambil sampel darah di jantung, paru-paru, hati, salur di kaki (saphenous vein) dan kemudian (sampel darah) dihantar ke makmal untuk melihat berapa banyak kandungan virus serta kepekatan virus pada organ berkenaan.

"Organ lain yang turut dikaji dalam bedah siasat itu ialah prostat, testis, ovari, usus kecil, salur karotid, tekak dan otot. Ini untuk melihat sama ada terdapat virus di organ berkenaan atau sebaliknya," katanya.

Menurut Dr S Malar, bedah siasat ujian imbasan CT menunjukkan paru-paru pesakit Covid-19 dalam keadaan sangat padat kerana mengandungi banyak virus dan sel darah putih (limfoist) yang melawan virus berada pada permukaan serta di dalam paru-paru.

"Ini menunjukkan satu 'peperangan' di antara virus dan 'tentera' daripada sistem imun badan berlaku pada permukaan paru-paru.

"Tujuh daripada 12 mayat yang melalui kajian klinikal bedah siasat ini ada darah beku pada kaki.

"Terdapat juga darah beku di saluran pernafasan dan saluran darah paru-paru (pulmonary embolism) yang ditemui pada empat daripada 12 mayat itu," katanya.

Beliau berkata, hasil bedah siasat ke atas enam daripada sembilan mayat lelaki pula menunjukkan adanya darah beku di kelenjar prostat yang boleh menjejaskan kesuburan.

"Enam daripada 12 mayat pesakit didapati mengalami keradangan di tekak (tekak menjadi kemerahan) dan terlalu banyak sel darah putih iaitu limfosit, penyebab keradangan (faringitis kronik).

"Sel darah putih dijumpai dekat jantung seorang daripada 12 pesakit yang menunjukkan keradangan turut berlaku di organ ini.

"Terdapat banyak virus (viremia) dijumpai pada organ enam daripada 12 mayat pesakit," katanya.

Katanya, sementara itu, lima daripada 12 mayat pesakit didapati mempunyai tahap kepekatan virus yang tinggi (high viral RNA titus) di hati, buah pinggang dan juga jantung.

"Malah, doktor menjumpai virus Covid-19 di otak dan salur darah kaki empat daripada 12 pesakit.

"Semua penemuan ini adalah hasil pemeriksaan seperti ujian darah dan histopatologi, bukannya menggunakan mata kasar," katanya.

Jelas Dr S Malar, hasil ujian bedah siasat terhadap semua mayat pesakit ini, turut menunjukkan tahap kepekatan virus Covid-19 di paru-paru mereka begitu tinggi.

Beliau berkata, inilah penyebab utama kematian pesakit Covid-19.

"Apabila virus Covid-19 memenuhi paru-paru menyebabkan organ ini bertukar menjadi kemerahan dan beratnya bertambah sehingga maksimum 3.42 kilogram (kg).

"Sedangkan berat paru-paru normal bagi lelaki ialah kira-kira 840 gram (gm), manakala wanita pula 630 gm.

"Berat paru-paru mayat pesakit Covid-19 meningkat lebih empat kali ganda, menunjukkan sel dan virus sangat tinggi di dalam organ ini," katanya.

Dr S Malar berkata, melalui ujian histopatologi pula mendapati terdapat kerosakan tisu di paru-paru, banyak saluran darah kecil di permukaan organ itu pecah, selain virus dan limfosid.

"Penemuan lain ke atas tujuh daripada 12 mayat pesakit pula mendapati, sebenarnya pesakit mengalami gejala tromboembolisme iaitu ada darah beku yang menyebabkan saluran darah pecah.

"Tiga daripada 12 mayat pula menunjukkan saluran berhampiran paru-paru pecah disebabkan oleh darah beku pada saluran ini.

"Lapan daripada 12 mayat pula didapati paru-parunya hancur dan rosak disebabkan keradangan yang teruk," katanya.

Katanya, kesimpulan daripada ujian klinikal bedah siasat itu menunjukkan punca utama kematian disebabkan jangkitan Covid-19 tertumpu di paru-paru kerana berlaku keradangan sangat teruk dan darah beku di organ ini.

Di samping itu, organ lain yang terkesan adalah jantung, kelenjar prostat, buah pinggang, hati dan otak.

"Kena ingat, 80 peratus pesakit Covid-19 mengalami jangkitan ringan.

"Sebanyak 15 hingga 20 peratus akan menjadi kritikal, tetapi selamat. Empat peratus masuk ICU dan bertarung nyawa. Sementara, satu peratus meninggal dunia," katanya.

Disiarkan pada: August 1, 2021 @ 6:10am
d