sihat

Vaksin kanak-kanak amat penting

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

KERISAUAN dan kebimbangan ibu bapa terhadap kesihatan serta keselamatan anak semakin meningkat sejak pandemik Covid-19 melanda.

Faktor kesihatan anak sentiasa menjadi keutamaan, hinggakan ada ibu bapa menangguhkan pengambilan suntikan imunisasi berjadual yang ditetapkan kerana khuatir anak mereka dijangkiti.

Namun, tahukah anda bahawa imunisasi vaksin lengkap adalah penting kerana dapat membantu anak daripada dijangkiti penyakit pada masa hadapan?

Ada ibu bapa masih ragu-ragu dengan kandungan vaksin dan kurang mengetahui kepentingan pengambilan imunisasi vaksin.

Bersempena dengan Bulan Imunisasi bulan ini, Pakar Kanak-Kanak Hospital KPJ Batu Pahat Dr Sulokchana Alagan, berkongsi maklumat mengenai kepentingan penerimaan vaksin.

Beliau berkata, di dalam vaksin, ada mengandungi antigen yang diperoleh daripada sebahagian atau keseluruhan struktur virus atau bakteria dilemahkan atau dimatikan.

"Vaksin berfungsi dalam merangsang sistem daya tahan jangkitan (sistem imun) tubuh yang membentuk imuniti terhadap jangkitan penyakit khusus.

"Tubuh kanak-kanak menghasilkan sel dan antibodi secara semula jadi bagi melindungi diri daripada jangkitan virus dan bakteria.

"Namun begitu, mekanisma pertahanan tubuh bagi daya lawan jangkitan (imun) boleh dirangsang dengan suntikan vaksin untuk menghasilkan antibodi khusus terhadap penyakit tertentu," katanya.

Jelas Dr Sulokchana, pengambilan vaksin mampu menguatkan imuniti melalui rangsangan kepada sel pertahanan supaya mengenali virus atau bakteria tertentu untuk masa hadapan.

"Kesan maksimum sesuatu vaksin lazimnya akan bermula selepas dos terakhir setiap vaksin yang diambil, mengikut jadual imunisasi ditetapkan.

"Melalui program Imunisasi Kebangsaan (NIP) di Malaysia, perkhidmatan pemberian imunisasi secara percuma bagi melindungi kanak-kanak daripada jangkitan batuk kering (tuberculosis), hepatitis B, disteria, batuk kokol (pertussis), 'poliomyelitis', 'haemophilus influenza type b', campak, beguk, 'rubella', virus papilloma manusia (HPV) dan 'japanese encephalitis' (JE)," katanya.

Dr Sulokchana berkata, keberkesanan vaksin ini tidaklah 100 peratus kerana ia mengikut tindak balas setiap manusia yang berbeza-beza.

Kata Dr Sulokchana, jika kanak-kanak diberikan imunisasi mengikut jadual ditetapkan, mereka akan terlindung daripada penyakit cegahan vaksin.

"Sekiranya mereka dijangkiti, kesan dan komplikasi akibat jangkitan itu tidak berbahaya. Terdapat vaksin yang memerlukan dos tambahan untuk membantu tubuh menguatkan lagi imuniti terhadap penyakit tertentu.

"Dos tambahan ini perlu untuk merangsang sistem daya lawan jangkitan dan memastikan antibodi pada paras tertinggi," katanya.

Kata Dr Sulokchana, perlindungan vaksin lebih awal adalah lebih baik daripada tanpa perlindungan bagi kanak-kanak untuk kesejahteraan kesihatan mereka.

"Ibu bapa tidak perlu bimbang untuk membenarkan anak mereka mengambil vaksinasi.

"Secara jelasnya, pengambilan vaksin bukan sahaja dapat membantu kanak-kanak mencegah penyakit yang mengancam nyawa, bahkan membantu menguatkan imun mereka dengan merangsang sel pertahanan seterusnya melindungi anak dengan lebih baik untuk masa hadapan," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 6:16am
d