sihat

Jejas puluhan juta orang

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

SERANGAN jantung akut (tiba-tiba) adalah keadaan apabila pesakit mengalami sakit dada teruk dan diikuti gejala lain seperti banyak berpeluh, susah bernafas, loya, muntah serta pening.

Pakar kardiologi sepakat menggunakan istilah sindrom koronari akut iaitu 'Acute Coronary Syndrome' (ACS).

Ia merujuk kepada spektrum penyakit serangan jantung yang berkait rapat.

ACS merujuk kepada tiga jenis penyakit serangan jantung yang menjejaskan kesihatan puluhan juta individu setiap tahun di seluruh dunia.

Ia merangkumi serangan jantung sangat serius iaitu 'ST-elevation Myocardial Infarction' (STEMI), 'Non-ST-elevation myocardial infarction' (NSTEMI) ialah saluran arteri koronari separa tersumbat dan angina tidak stabil (seperti serangan jantung, tetapi tidak berlaku kerosakan jantung).

Perunding Kardiologi Intervensi dan Perubatan Dalaman Hospital Pakar An-Nur, Datuk Dr Oteh Maskon berkata, sebelum ini, serangan jantung yang berlaku sering dikaitkan dengan masalah saluran arteri koronari tersumbat oleh plak lemak atau kolesterol.

Namun, menurutnya, pada masa ini, 'trend' itu sudah berubah apabila pesakit boleh mengalami serangan jantung, meskipun saluran arteri koronari tidak tersumbat.

"Ia (saluran arteri koronari tidak tersumbat) dikenal pasti berdasarkan prosedur koronari angiogram dilakukan ke atas pesakit selepas mengalami serangan itu.

"Ini boleh dikatakan sejenis serangan jantung yang baharu dan ada pakar kardiologi mengistilahkannya sebagai kecederaan miokardium.

"Apabila keadaan ini berlaku (kecederaan miokardium), pesakit seperti mengalami lemah jantung atau sakit jantung tanpa serangan," katanya.

Dr Oteh berkata, secara asasnya, serangan jantung berlaku kerana saluran arteri koronari sempit atau tersumbat. Ini menyebabkan otot jantung tidak mendapat bekalan darah serta oksigen secukupnya.

Katanya, seterusnya berlaku kerosakan pada jantung yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi organ ini dan akan mengakibatkan kematian.

Ditanya mengenai gejala serangan jantung akut, Dr Oteh berkata, gejala biasa dialami pesakit ialah sakit di bahagian tengah dada, tetapi ada yang mengalami kesakitan di bahagian kiri dada.

"Rasa sakit ini seperti ada objek berat menghempap dada atau dada terasa ketat yang boleh dirasai untuk beberapa minit.

"Selain itu, pesakit akan berpeluh sejuk, lemah badan, mual, pening dan rasa hendak pitam. Ada kalanya gejala dialami pesakit menyamai penyakit gastrik dan terasa kebas pada tangan kiri.

"Malah ada juga pesakit mendapat gejala secara tiba-tiba semasa tidur yang mengakibatkan mati mengejut," katanya.

Dr Oteh berkata, ada pesakit yang dibawa ke hospital dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana jantung terhenti (cardiac arrest).

"Gejala ini juga agak biasa berlaku dan mungkin satu pertiga pesakit tidak sempat dibawa ke hospital akan meninggal dunia.

"Ada juga kesakitan dialami pesakit tidak menunjukkan gejala begitu ketara," katanya.

Dr Oteh berkata, beliau berkongsi kajian dijalankan oleh Pakar Kardiologi McMaster University, Kanada Prof Dr Salim Yusuf yang menyenaraikan sembilan faktor risiko serangan jantung akut.

Jelasnya, faktor risiko serangan jantung akut adalah sama seperti jenis penyakit jantung yang lain. Mereka yang berisiko termasuk penghidap darah tinggi, pesakit kencing manis, tinggi kolesterol dan perokok.

"Faktor risiko lain ialah obesiti, tekanan, diet tidak sihat, kurang aktiviti fizikal dan mempunyai sejarah keluarga menghidap penyakit jantung.

"Serangan jantung berlaku kerana interaksi faktor risiko, contohnya individu obes menghisap rokok.

"Lebih banyak himpunan faktor risiko atau tahap sesuatu faktor risiko terlalu tinggi, kemungkinan serangan jantung adalah lebih tinggi dan boleh terkena serangan jantung pada usia muda.

"Individu yang mempunyai faktor risiko terkawal pula atau sejarah keluarga menghidap penyakit jantung, tetapi mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat. Maka individu ini boleh 'melewatkan' risiko serangan penyakit berkenaan.

"Mereka yang melebihkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam hidangan harian, serta aktif melakukan senaman dapat merendahkan risiko serangan jantung," katanya.

Kata Dr Oteh, tidak dinafikan ada individu yang aktif melakukan aktiviti fizikal turut mengalami serangan jantung.

"Biasanya insiden ini terjadi disebabkan faktor risiko tidak terkawal (mungkin tidak dikesan kerana tiada saringan atau pemantauan) yang saluran arteri koronari pesakit sudah ada plak.

"Apabila plak ini pecah, ia akan menyebabkan keradangan seterusnya terbentuk darah beku pada saluran arteri koronari yang mencetuskan serangan jantung," katanya.

Tambah beliau, serangan jantung akut adalah masalah kesihatan yang serius dan boleh mengakibatkan kematian.

"Oleh itu, pesakit perlu segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut. Sebaik-baiknya dalam tempoh kurang daripada tiga jam selepas detik serangan. Bagaimanapun, lebih awal, lebih baik kerana 'time is muscle', setiap jam berlalu, kerosakan pada jantung bertambah teruk.

"Lebih cepat pesakit dihantar ke hospital, peluang mereka hidup adalah sangat tinggi," katanya.

Ditanya mengenai rawatan serangan jantung akut, Dr Oteh berkata, rawatan utama kepada pesakit ialah prosedur angioplasti primer (Primary PCI) untuk membuka saluran arteri yang sempit atau tersumbat.

"Prosedur ini memulihkan aliran darah ke otot jantung yang secara langsung boleh memulihkan aliran darah ke saluran arteri koronari.

"Rawatan angioplasti digunakan untuk mengurangkan risiko kematian dan komplikasi, juga mengurangkan gejala sakit jantung seperti sakit dada.

"Ia juga boleh mengurangkan kerosakan otot jantung apabila terkena serangan jantung," katanya.

Dr Oteh berkata, pilihan rawatan kedua ialah melalui trombolisis iaitu satu prosedur dilakukan untuk menghancurkan darah beku yang terdapat dalam saluran arteri koronari.

"Pesakit juga diberikan dua jenis ubat cair darah dan ubat kolesterol (contoh, statin) yang membantu menurunkan tahap kolesterol serta mengurangkan risiko berulangnya serangan jantung.

"Selain itu, pesakit turut diberikan 'ACE inhibitor' dan 'beta-blocker' iaitu ubat yang boleh mengurangkan tekanan pada jantung dan membantu pemulihan jantung," katanya.

Dr Oteh berkata, pesakit berpotensi sembuh daripada penyakit itu dan mereka yang mendapat rawatan lengkap, boleh kembali kepada kehidupan normal.

Katanya, statistik beberapa tahun lalu menunjukkan, purata tujuh peratus pesakit yang dimasukkan ke hospital akibat serangan jantung akut meninggal dunia.

"Kadar ini adalah agak tinggi berbanding Eropah. Diharapkan pada masa hadapan, ia akan bertambah baik dengan rawatan akut yang lebih rapi, terutama apabila lebih ramai pesakit mendapat rawatan angioplasti awal," katanya.

Disiarkan pada: August 7, 2022 @ 7:00am
d