global

Covid-19: Jerman perketat sekatan pergerakan

Oleh BERNAMA

Berlin: Jerman, pada Ahad, mengumumkan langkah-langkah sekatan pergerakan lebih ketat di tengah-tengah peningkatan kes dan kematian Covid-19, menurut Agensi Anadolu.

Canselor Angela Merkel dalam satu sidang akhbar berkata, semua kedai barangan dan perkhidmatan kurang penting akan ditutup pada Rabu, sekolah dan pusat jagaan juga akan ditutup sehingga sekurang-kurangnya 10 Januari di kebanyakan negeri persekutuan.

Mencatatkan purata melebihi 20,000 kes Covid-19 dalam tempoh tujuh hari, Merkel berkata, jumlah itu hampir mengatasi kemampuan tindak balas sistem kesihatan awam.

Canselor itu berkata, mengikut langkah-langkah baharu yang dipersetujui oleh negeri persekutuan, restoran dan kafe juga akan ditutup dan hanya akan menawarkan perkhidmatan bawa pulang.

"Pertemuan ahli keluarga dihadkan kepada lima orang dari dua isi rumah serentak," lapor agensi itu memetik Merkel.

Langkah itu juga meminta orang ramai melakukan kuarantin kendiri sekurang-kurangnya tujuh hari, sebelum pertemuan keluarga sempena perayaan Krismas.

Kerajaan tidak membenarkan penjualan bunga api untuk Malam Tahun Baru, manakala minum alkohol di khalayak ramai juga dilarang antara 16 Disember dan 10 Januari, tambahnya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: December 14, 2020 @ 2:21pm
    d