global

Indonesia nafi jalin hubungan diplomatik dengan Israel

Oleh Agensi

Jakarta: Indonesia menafikan laporan media bahawa ia berhasrat menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Teuku Faizasyah menafikan kenyataan berkenaan dan menegaskan bahawa ia tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan dengan Israel atau mengubah pendirian mereka terhadap isu Palestin.

Minggu lalu, media Israel melaporkan Indonesia dijangka menjalin hubungan dengan Israel selepas empat negara Arab membuka hubungan diplomatik dengan Jerusalem.

"Terdapat dua perkara yang saya ingin tekankan. Pertama, Kementerian Luar tidak pernah berhubung dengan Israel dan yang kedua, apa saja berkaitan polisi luar, Kementerian Luar masih konsisten dengan Palestine sejajar dengan mandat perlembagaan," katanya seperti dilaporkan Jakarta Globe.

Menurut laporan akhbar Jerusalem Post, pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, cuba membawa lebih banyak negara Arab dan Islam menyertai Perjanjian Abraham.

Perjanjian yang disertai Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Sudan dan Maghribi, pada hujung minggu lalu menyaksikan satu lagi negara Asia Selatan, Bhutan, mengumumkan akan menjalin hubungan diplomatik penuh bersama Israel.

Sebelum ini, dua negara Liga Arab iaitu Mesir, menandatangani perjanjian damai dengan Israel 1979, diikuti Jordan pada 1994.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, Sabtu lalu berkata, Israel turut berhubung dengan negara lain yang mahu menyertai dan mewujudkan pertalian diplomatik dengan mereka.

Sumber diplomatik berkenaan memetik laporan yang mengenal pasti Oman dan Indonesia sebagai dua negara terbaru bakal terbabit dalam perjanjian itu, sebelum Trump meninggalkan Rumah Putih 20 Januari tahun depan.

Pegawai AS termasuk Trump; Naib Presiden AS, Mike Pence dan Penasihat Kanan Rumah Putih, Jared Kushner, turut memberi gambaran bahawa negara lain sedang bersiap sedia untuk menjalinkan hubungan diplomatik bersama Israel.

Disiarkan pada: December 15, 2020 @ 6:31pm
d