utama

Dari Madagaskar ke Malaysia

Oleh Iskandar Shah Mohamed

“SELAIN mengagumi lenggok Bahasa Melayu dan loghat yang lebih lembut, saya terpesona dengan pelbagai keunikan budaya di negara ini,” kata penuntut warga Madagaskar, Ny Aina Merryl

Raharinarivonirina, 23.

Penuntut Institusi Nasional Bahasa dan Budaya (INALCO) Paris, Perancis itu antara pelajar pertukaran antarabangsa yang sedang menghabiskan pengajian selama setahun di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Uniknya, anak sulung daripada dua beradik yang berasal dari Antananarivo itu turut sempat menghasilkan sebuah buku berkaitan asas perbualan Bahasa Melayu dan bahasa ibundanya, Malagasy.

Dia yang mesra dikenali sebagai Aina berkata, biarpun sedang menuntut dalam jurusan Ijazah Bahasa Indonesia, hatinya turut tertarik dengan Bahasa Melayu yang disifatkan indah dan unik.

“Secara dasarnya, Madagaskar iaitu pulau keempat terbesar dunia terdiri daripada penduduk yang berasal dari Borneo Tenggara atau serumpun dengan bangsa Melayu.

“Walaupun bahasa kami berbeza, ada daripada perkataan yang digunakan sama seperti Bahasa Melayu seperti dua, murah, salam dan telefon. Selain itu, nasi menjadi makanan ruji kami dan menggunakan pakaian bertenun.

“Namun, sepanjang berada di Malaysia, saya dapati Bahasa Melayu lebih lembut dan mudah dipelajari,” katanya ketika ditemui pada program Diskusi Dari Madagaskar ke Malaysia di Perpustakaan Pengajian Melayu UM hari ini.

Hadir sama Pengarah Pusat Pelajar Antarabangsa UM Salmi Marsita Shaari.

Pada program itu, Aina turut memperkenalkan buku Asas Perbualan Malagasy-Melayu hasil penulisannya dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD).

Aina yang berasal dari suku Merina berkata, buku dihasilkan selama tiga bulan itu bertujuan memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai asas bahasa kedua-dua negara berkenaan.

“Selain bergaul dengan rakan sekuliah di Fakulti Pengajian Melayu UM, saya sentiasa berinteraksi menerusi media sosial untuk memperbaiki dan mempertingkatkan kemahiran berbahasa Melayu.

“Selepas menamatkan pengajian di Perancis, saya berhasrat menyambung Master (Sarjana) dalam jurusan Bahasa Melayu di negara ini,” katanya yang baru memeluk Islam April lalu.

Sementara itu, Salmi berkata, Aina antara 500 penuntut dari 40 negara bagi program pertukaran pelajar antarabangsa yang dilaksanakan universiti itu setiap tahun.

“Ia membabitkan kerjasama dengan rakan universiti luar negara dan penuntut diberi peluang memilih kursus diminati mereka sepanjang menjalani program itu selama satu atau dua semester.

“Selain menimba ilmu pengetahuan secara lebih mendalam, mereka dapat mempromosikan keunikan Malaysia di negara mereka,” katanya.

Orang ramai yang berminat mendapatkan buku Asas Perbualan Malagasy-Melayu itu boleh melayari pautan bit.ly/bukumalagasymelayu.

Disiarkan pada: July 10, 2019 @ 10:00pm
d