utama

'Ya Allah, terimalah taubat kami' [METROTV]

Oleh Amirul Haswendy Ashari.

BERMIMPI masa tiba-tiba terhenti, manusia berada di pengakhiran dunia dan pintu taubat ditutup.

Itu antara sebab pasangan Murni Hidayah Azman Tang, 23, dan Muhammad Azmi Che Muda, 31, mengambil keputusan meninggalkan ‘dunia’ kelab malam selepas berkahwin pada Februari lalu.

Kisah pasangan itu tular di Twitter apabila Murni Hidayah melalui akaun Twitter @ninietang143 berkongsi kisah mereka yang bertemu jodoh di sebuah kelab malam popular di Kuala Lumpur namun nekad sama-sama berubah ke arah lebih baik.

Murni Hidayah ketika dihubungi Harian Metro berkata, kali pertama berjumpa suami di kelab malam pada pertengahan 2018 dan tiga bulan selepas perkenalan, suami mengajaknya untuk berkahwin.

Malah, selepas bergelar suami isteri, mereka pernah berkunjung ke kelab malam sebanyak dua kali.

“Saya mula aktif ke kelab malam pada 2016. Boleh dikatakan agar kerap juga ke sana. Tapi pada tahun-tahun seterusnya, saya semakin sedar dan kurang ke sana dan berazam mahu berhenti melakukan aktiviti itu.

“Antara sebab lain saya mahu berubah kerana menyedari ramai anak Melayu di sana dan tidak terkecuali diri kami sendiri. Jadi saya terfikir, sampai bila nak terus hidup begini?

“Saya juga sering dapat mimpi seperti langit dan masa tiba-tiba terhenti sehingga tiada masa untuk bertaubat. Selain itu, saya juga pernah mimpi planet berkumpul di langit dan tsunami amat dahsyat dan sungguh menakutkan, ” katanya.

Katanya, sebaik tersedar daripada mimpi itu tepat pada waktu subuh, dia terus mengejutkan suami dan terus menunaikan solat Subuh bersama-sama.

Menurut pemilik perniagaan atas talian Aj Trend, dia juga membeli buku agama dan apabila dibaca, dia menyedari manusia kini berada di akhir zaman.

Tersentak dengan itu, dia menyedari masih ada masa untuk bertaubat cuma pada waktu yang sangat singkat.

Murni Hidayah yang kini hamil tiga bulan, sering berkongsi pendapat bersama suaminya lalu mereka berdua tanpa melengahkan masa mahu berubah ke arah kebaikan.

“Saya mula mengajak suami ke kelas mengaji sebelum Ramadan lalu. Kami menghadiri kelas mengaji setiap minggu pada Rabu di Al-Baghdadi, Puchong Lestari yang diajar oleh Ustazah Masni Yaakub.

“Dalam masa enam bulan ini, walaupun belum lancar, saya dan suami boleh mengikut bacaan. Bacaan dalam solat juga lebih baik berbanding sebelum ini. Banyak yang sudah kami dapat betulkan, Alhamdulillah,” katanya.

Dia juga dalam perancangan untuk mendaftar adik-adiknya untuk ke kelas mengaji yang sama selain berhasrat menunaikan umrah bersama suami.

“Kawan-kawan kami sangat positif dan menerima perubahan kami berdua. Mereka juga tidak mengecam malah terus memberi sokongan selain semangat untuk kekalkan istiqomah, malah ahli keluarga turut tumpang gembira dengan perubahan dilakukan.

“Dugaan dalam rumah tangga pula tidak dapat dielak tapi kami rasa lebih tenang dan positif selain saling ingat mengingati. Alhamdulillah, suami seorang penyayang dan memahami,” katanya.

Disiarkan pada: September 5, 2019 @ 9:21pm
d