utama

Dia bukan polis trafik buat 'part-time'...

Oleh Essa Abu Yamin

Kluang: Polis menafikan gambar seorang penghantar makanan dengan tajuk 'Buat Partime Kah?' yang tular di Facebook adalah anggota trafik daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, gambar tular itu bukan anggota trafik yang sedang membuat kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

"Individu yang ditularkan sememangnya pekerja penghantar makanan dan dia sudah hadir ke IPD Kluang serta mengesahkan bahawa itu gambar dirinya yang ditularkan di Facebook.

"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan perkara yang tidak disahkan benar sebelum menyemak perkara berkenaan daripada ditularkan," katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, orang ramai yang menyebarkan perkara seumpama itu boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 233(3) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Menurutnya, jika sabit kesalahan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, tular di Facebook sejak semalam gambar seorang penghantar makanan memakai seluar mirip dengan seluar anggota trafik dan didakwa sedang melakukan kerja sambilan sebagai penghantar makanan.

Disiarkan pada: March 10, 2021 @ 9:49pm
d