utama

Menantuku, anak kandungku

Oleh Agensi

Beijing: Majlis perkahwinan pasangan pengantin bertukar drama dan dipenuhi linangan air mata apabila bakal ibu mertua mendapati pengantin perempuan itu adalah anak kandungnya yang terpisah sejak 20 tahun lalu.

Wanita terbabit menyedari pengantin perempuan itu adalah anak kandungnya selepas melihat tanda lahir pada tangan bakal menantunya ketika hadir di majlis perkahwinan berkenaan yang berlangsung di wilayah Jiangsu, dekat sini.

Media tempatan melaporkan, selepas terlihat tanda lahir itu, wanita berkenaan berjumpa ibu bapa pengantin perempuan sebelum bertanyakan sama ada bakal menantunya itu adalah anak angkat mereka sejak 20 tahun lalu.

Tindakan wanita terbabit mengejutkan ibu bapa pengantin perempuan kerana ia adalah rahsia keluarga berkenaan sejak sekian lama.

Mereka kemudian mengakui bahawa bakal pengantin perempuan adalah anak angkat yang dibesarkan sejak bayi selepas menemuinya di tepi jalan.

Pengantin perempuan nyata gagal menahan air mata kerana dia sememangnya mahu mengetahui mengenai keluarga kandungnya sejak sekian lama.

Dia (pengantin perempuan) menyifatkan detik berkenaan adalah lebih indah daripada hari perkahwinannya sendiri.

Tatkala majlis perkahwinan dijadualkan berlangsung itu nyaris dihentikan kerana bimbang berlaku perkahwinan antara saudara kandung, satu lagi rahsia dibongkarkan keluarga pengantin lelaki.

Mereka mendedahkan bahawa pengantin lelaki juga adalah anak angkat keluarga berkenaan. Majlis perkahwinan itu kemudiannya diteruskan seperti dirancang.

Oriental Daily melaporkan, wanita terbabit mengambil anak angkat lelaki selepas usaha mencari anak perempuannya yang hilang gagal.

Disiarkan pada: April 6, 2021 @ 10:14am
d